Dr Che Muhammad Hafiz
Dr Che Muhammad Hafiz
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Bekas suami kepada pelakon Lufya iaitu Dr Che Muhammad Hafiz mengambil pendekatan untuk tidak melatah biarpun namanya dipetik rentetan kes cubaan menculik anak perempuannya, Laana Haura sekitar Julai lalu.

Che Muhammad Hafiz menegaskan, isu berkenaan tidak memberikan impak terhadap dirinya memandangkan dia juga tidak mempunyai masalah untuk bertemu dengan anak perempuannya itu.

"Tidak tahu bagaimana boleh timbul dakwaan mengatakan saya yang melakukan cubaan menculik itu. Jika boleh berjumpa secara baik, kenapa pula saya hendak buat perkara begitu?

"Oleh itu, saya memilih untuk memberikan reaksi terhadap dakwaan yang dilemparkan. Saya tidak terkesan kerana menganggap dakwaan berkenaan tidak timbul sama sekali.

"Cuma secara umumnya, saya berpendapat ibu bapa di luar sana untuk lebih berhati-hati jika bersama anak-anak supaya insiden sebegini tidak berulang," katanya.

Terdahulu, Lufya berdepan detik cemas apabila dia mendakwa seorang lelaki cuba menculik anak perempuannya, Laana Haura ketika berada di taman permainan.

Lufya atau pemilik nama penuh, Lutfyah Sheikh Omar bersyukur anak dan dirinya selamat namun mengalami kecederaan di muka disebabkan individu itu memukulnya menggunakan batang kayu.

Menerusi ruangan komen perkongsian berkenaan, nama Che Muhammad Hafiz turut dipetik sebagai salah seorang suspek.

Bagaimana pun, Lufya turut menafikan dakwaan tidak berasas itu. Lufya pernah mendirikan rumah tangga dengan Che Muhammad Hafiz pada 26 November 2016 dan dikurniakan anak perempuan, Laana Haura yang kini berusia empat tahun.

Lufya dan Che Muhammad Hafiz yang merupakan seorang doktor bercerai pada 17 Jun 2020 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 4:51 PM