OPERATOR kren memakai abah-abah keselamatan untuk memanjat kren.
OPERATOR kren memakai abah-abah keselamatan untuk memanjat kren.
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Hafiz Ithnin dan Mahaizura Abd Malik


Bekerja di lokasi berisiko tinggi namun tidak memiliki lesen kompetensi yang melayakkan mereka mengendalikan kren menara.

Itu situasi yang berlaku di kebanyakan tapak pembinaan di seluruh negara sejak pertengahan 1990-an lagi.

Namun senario itu dikesan semakin membimbangkan berikutan pertambahan projek pembinaan bangunan komersial dan kediaman bertingkat selari dengan perkembangan ekonomi Malaysia.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Presiden Persatuan Pekerja Mahir Kren Menara Malaysia (Perkema) Raziz Abdul Rahman berkata, kira-kira 500 operator kren menara di Malaysia tidak memiliki lesen kompetensi seperti disyaratkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sejak 2013.

Beliau berkata, kegagalan operator kren menara memiliki lesen kompetensi disebabkan keengganan kontraktor membayar gaji mengikut kelayakan pengendali berkemahiran sehingga sanggup menggaji mereka yang tidak berkelayakan.

Menurutnya, keadaan itu mengundang risiko berlakunya kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan serius dan maut apabila operator kren menara tidak memiliki ilmu teori dan praktikal tentang pengendalian jentera berkenaan terutama dalam aspek keselamatan.

“Mereka yang tidak mempunyai lesen senang diambil bekerja oleh kontraktor kerana bayaran yang murah sekitar RM80 sehari berbanding operator berlesen yang perlu dibayar RM180 ke atas sehari.

“Kontraktor yang mementingkan keuntungan dan mahu projek siap ikut jadual menyebabkan mereka beralih kepada operator tidak berlesen.

“Soal keselamatan operator dan pekerja di tapak pembinaan dan sekitarnya tidak diambil peduli,” katanya.

Menurutnya, apa yang membimbangkan operator kren menara tidak kompeten menyebabkan soal keselamatan dipandang ringan kerana sebagai pengendali, pelbagai aspek khususnya beban angkatan dan keadaan fizikal kren menjadi keutamaan.

OPERATOR, Mohd Bakri Ashmad Bakar yang bertugas di kren menara miliki segala kelulusan mengikut undang-undang.
OPERATOR, Mohd Bakri Ashmad Bakar yang bertugas di kren menara miliki segala kelulusan mengikut undang-undang.

Beliau berkata, berdasarkan Perintah Khas Ketua Pemeriksa Berkenaan Pengurusan dan Pengendalian Selamat Kren Menara 2017 JKKP, seseorang operator kren menara perlu memiliki lesen kompetensi yang disahkan pihak berkuasa.

“Lawatan mengejut dilakukan Perkema di tapak pembinaan mengesan ramai pengendali kren menara tidak berlesen dan ada antara kejadian yang menyebabkan kematian disebabkan kurang faham pengendali tentang prosedur operasi standard.

“Jika terjadi kemalangan, operator kren tidak berlesen ini sudah pasti menghilangkan diri manakala kontraktor pula akan lepas tangan dan enggan bertanggungjawab dengan kejadian yang berlaku,” katanya.

Katanya, masalah operator kren menara tidak berlesen ini perlu ditangani khususnya daripada segi pemantauan dan penguatkuasaan kerana membabitkan nyawa banyak pihak yang mungkin tergadai disebabkan kerakusan sesetengah pihak mengaut keuntungan mudah.

OPERATOR kren menara bekerja di lokasi berisiko tinggi.
OPERATOR kren menara bekerja di lokasi berisiko tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 November 2019 @ 8:00 AM