LEE
LEE
Faliq Lajim


Kuala Lumpur: Kekurangan pengendali kren bertauliah apabila tenaga kerja tempatan tidak mampu menampung permintaan antara faktor banyak kejadian yang membabitkan kren tumbang meningkat di negara ini.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menetapkan hanya rakyat tempatan boleh memiliki sijil kecekapan pengendalian kren.

“Namun ada kemungkinan kontraktor mengambil pekerja tempatan atau asing secara tidak sah.

“Sebahagian pekerja asing mungkin mempunyai sijil berkaitan di negara mereka tetapi tidak ada pihak yang dapat menentukan tahap latihan dan keupayaan mereka menyesuaikan diri dengan jenis mesin dan cuaca di Malaysia,” katanya.

Oleh itu, pihak berkuasa perlu memastikan kontraktor hanya menggunakan khidmat pengendali kren bertauliah manakala pegawai bertugas di tapak pembinaan perlu memeriksa keadaan kren adalah selamat.

“Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA), kontraktor utama di tapak pembinaan bertanggungjawab memastikan kren selamat untuk digunakan.

“Akta Kilang dan Jentera 1967 pula menetapkan semua kren perlu dipasang dan dijaga oleh syarikat bertauliah yang berdaftar dengan JKKP,” katanya.

Lee berkata demikian dalam mengulas insiden kren tumbang sebelum tersangkut pada tingkat yang sama di Bandar Damansara Perdana, di sini, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2016 @ 9:08 AM