PEKERJA warga asing diperiksa dalam operasi.
PEKERJA warga asing diperiksa dalam operasi.
PEGAWAI CIDB  membuat pemeriksaan tapak projek  pembinaan di Seksyen 7, Shah Alam, semalam.
PEGAWAI CIDB membuat pemeriksaan tapak projek pembinaan di Seksyen 7, Shah Alam, semalam.
Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Pekerja tiada kad hijau, kontraktor atau subkontraktor tidak berdaftar dan penemuan tempat pembiakan serangga pembawa penyakit termasuk nyamuk.

Itu antara kesalahan yang dikesan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan pelbagai agensi lain ketika menjalankan pemeriksaan menyeluruh di sebuah projek pembangunan ikonik di sekitar Seksyen 7 di sini, semalam.

Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan operasi pembinaan dihentikan selama 14 hari hasil penemuan 10 tempat pembiakan nyamuk.

Selain itu, CIDB Selangor mengeluarkan notis larangan memulakan dan meneruskan kerja pembinaan kepada 15 kontraktor atau subkontraktor projek itu kerana tidak berdaftar serta lesen tamat tempoh.

Operasi bersepadu bermula jam 11 pagi itu turut disertai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor, Jabatan Imigresen, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bomba dan Penyelamat.

Pengarah CIDB negeri Mohd Zaid Zakaria berkata, 112 pekerja asing diperiksa pihaknya, namun hanya 23 daripada mereka memiliki kad hijau atau Kad Pendaftaran Personel Binaan.

“Kita bagaimanapun percaya ada kira-kira 600 pekerja di tapak pembinaan projek membabitkan tiga menara setinggi 30 tingkat ini. Pihak kontraktor akan memberi senarai itu untuk diperiksa.

“Notis yang dikeluarkan bagi kesalahan itu perlu dijawab dalam tempoh seminggu. Kontraktor itu juga akan dipanggil menghadiri prosiding tatatertib sebelum CIDB mengambil tindakan susulan seperti penggantungan dan pembatalan lesen,” katanya pada sidang media selepas operasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 5:21 AM