ANTARA kren menara yang digunakan di Putrajaya.
ANTARA kren menara yang digunakan di Putrajaya.
MEMERIKSA kabel pada kren sebelum melakukan tugasan.
MEMERIKSA kabel pada kren sebelum melakukan tugasan.
WAN SALIHIN memanjat  tangga untuk  memasuki kabin  kren.
WAN SALIHIN memanjat tangga untuk memasuki kabin kren.
ANTARA kren menara yang digunakan di Putrajaya.
ANTARA kren menara yang digunakan di Putrajaya.
Siti Salmiah A Hamid dan Azlan Hafeedz


Bagi kebanyakan orang, berada lapan jam setiap hari di dalam bilik cukup membosankan. Tetapi itulah rutin harian operator kren menara (tower crane) yang terpaksa berada di dalam kabin pengendali jentera pengangkut itu.

Di situlah tempat mereka makan, minum, malah ada ketikanya menjadi tempat ‘melepaskan hajat’ jika tidak boleh meninggalkan langsung ‘dunia kecil di angkasa’ itu kerana tuntutan tugas.

Wan Ahmad Salihin Wan Yunus dan Khairul Riduan Ghazali sudi menceritakan kisah suka duka mereka menjadi operator kren menara kepada pembaca Nuansa.

Sayup kelihatan jentera gergasi itu berada di atas puncak bangunan yang sedang dalam pembinaan ketika penulis singgah di Putrajaya.

Kren menara adalah antara puluhan kren kategori jentera berat yang digunakan untuk mengangkat dan memindahkan bahan berat serta besar dari satu tempat ke tempat lain.

Penggunaannya memudah dan mempercepatkan pembinaan struktur di tempat tinggi kerana fungsinya mengangkat pelbagai bahan binaan seperti konkrit, kayu, besi, simen dan batu ke bahagian atas bangunan yang sedang dibina.

Struktur kren menara diperbuat daripada besi padu dan dibahagikan kepada beberapa bahagian. Bahagian ini boleh dipisah dan dicantumkan semula. Teknik cantum dan lerai memudahkan proses membuka dan memasang kren berkenaan.

Ketika itulah penulis diperkenalkan dengan Wan Ahmad Salihin Wan Yunus, 50, atau lebih dikenali sebagai Mat Kelantan, mengambil asal usulnya dari Wakaf Baru, Kelantan.

Dia sememangnya dikenali dalam kalangan pengendali kren menara disebabkan pengalaman dimilikinya, malah kerajinan dan semangat beliau sering dijadikan contoh kepada pelatih muda.

Sejak berusia 17 tahun, beliau sudah bergelumang dalam bidang pembinaan dengan melakukan pelbagai pekerjaan sebelum berada pada taraf yang boleh dibanggakan hari ini.

Menurut Wan Ahmad Salihin, bukan sesuatu yang pelik bagi operator berada sekurang-kurangnya lapan jam di dalam kabin kren menara.

“Kebanyakan operator hanya naik dan turun sekali saja dari kren iaitu ketika memulakan tugas dan selepas menamatkan tugas harian.

“Menyiapkan pangsapuri 22 tingkat ini mengambil masa lama kerana banyak kerja mengangkat barangan diperlukan. Justeru, sukar bagi operator turun berkali-kali dari kren dikendalikannya.

“Ada masanya ketika waktu makan tengah hari, kontraktor atau mana-mana pekerja akan belikan makanan dan minuman bungkus yang kemudian disangkut pada rantai (lam) sebelum ditarik ke atas.

“Adakalanya saya turun juga jika urusan di bawah memerlukan saya berada di sana,” katanya yang mula mengendalikan kren menara sejak tahun 1986.

Pelbagai projek sudah dilaksanakan termasuk pembinaan Lot 10, Yaohan dan The Mall. Selain itu, beliau turut bekerja di Singapura, Johor, Pahang dan Kelantan.

Wan Salihin turut memiliki pengalaman bekerja dengan syarikat dari Jepun, Shimizu Construction Co Ltd.

“Pengendali kren menara sesuai untuk mereka yang masih muda, memiliki kesihatan yang memuaskan dan paling penting ada sijil diiktiraf sebagai operator kren.

“Sebelum menjadi pengendali kren, kami perlu mendaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) kerana perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum lesen diperharui.

“Latihan fizikal dan mental amat penting untuk mengendalikan jentera ini. Jika cukup latihan ia tidaklah sesukar mana. Sebenarnya ia banyak bergantung kepada tahap kesungguhan dan kesabaran untuk belajar, mengasah kemahiran dan menambah pengalaman,” katanya.

Begitupun, katanya, tindakan kebanyakan syarikat pembinaan kini yang gemar menggaji rakyat asing dianggap bagai mahu [membunuh’ rakyat tempatan yang memiliki sijil diiktiraf dalam kerjaya itu.

“Yuran kursus saja sudah lebih RM3,000. Kemudian perlu menjalani ujian daripada JKKP sebelum lesen dikeluarkan. Ada pula syarikat yang tidak membuat potongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Peluang kerja kini makin terhad disebabkan penguasaan buruh asing terutama dari Indonesia dan Bangladesh. Banyak majikan mengambil warga asing kerana mereka dibayar gaji lebih rendah berbanding operator tempatan. “Jika perbuatan itu tidak disekat, sukar untuk belia tempatan menceburi kerjaya ini kerana mereka perlu bersaing dengan buruh asing yang tidak memiliki sijil, permit dan kelulusan JKKP,” katanya yang berharap pihak berkuasa pemantauan lebih kerap di tapak pembinaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2016 @ 10:13 AM