WANITA muda juga berisiko untuk didiagnosis dengan kanser.
WANITA muda juga berisiko untuk didiagnosis dengan kanser.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Umum mengetahui bahawa kanser payudara antara pembunuh senyap wanita yang utama di negara ini dan kebanyakan pesakit dikesan pada peringkat yang merbahaya.

Namun, selain kanser payudara, tidak ramai yang tahu mengenai penyakit barah lain yang kerap berlaku dalam kalangan wanita dan bagaimana untuk mengesan dan mendapatkan jenis rawatan bersesuaian.

Berdasarkan info Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ada beberapa jenis kanser yang sering dihadapi wanita, antaranya kanser kolorektal (usus), kanser ovari dan kanser serviks (pangkal rahim).

Biarpun kurang dikenali, namun ia seharusnya diberi perhatian kerana kadar kes penyakit kanser itu juga dikatakan semakin meningkat setiap tahun.

Perunding Onkologi Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Hafizah Zaharah berkata, wanita dari semua peringkat usia perlu menjaga kesihatan supaya dapat melakukan apa yang terbaik untuk diri mereka.

DR HAFIZAH
DR HAFIZAH

Untuk itu kata Dr Hafizah, wanita perlu mengetahui setiap perubahan yang dialami tubuh mereka pada setiap masa.

Ini kerana meskipun masih muda (pada usia 20-an dan 30-an), wanita masih berisiko untuk didiagnosis dengan kanser.

"Pada ketika ini, kami mempunyai kadar pesakit yang semakin meningkat daripada golongan muda.

"Tidak mengira usia, wanita yang dapat mengesan kanser mereka lebih awal akan mempunyai peluang lebih cerah untuk dirawat dan mempunyai peluang untuk sembuh yang lebih tinggi," katanya.

MESKIPUN berumur 20-an dan 30-an, wanita masih berisiko didiagnosis dengan barah.
MESKIPUN berumur 20-an dan 30-an, wanita masih berisiko didiagnosis dengan barah.

Mengulas lanjut, Dr Hafizah berkata, masih ada individu yang teragak-agak untuk membuat janji temu atau menjalani pemeriksaan kesihatan yang sewajarnya kerana takut diagnosis yang bakal diterima.

Selain itu, ada juga yang cuba untuk merawat diri sendiri di rumah.

Kata Dr Hafizah, pengesanan awal untuk kanser adalah penting manakala tanda-tanda gejala dan simptom perlu diberi perhatian.

PENGESANAN awal untuk kanser adalah penting manakala tanda-tanda gejala dan simptom perlu diberi perhatian.
PENGESANAN awal untuk kanser adalah penting manakala tanda-tanda gejala dan simptom perlu diberi perhatian.

"Seseorang itu perlu menjalani pemeriksaan walaupun hanya mengalami satu simptom dari keempat-empat jenis kanser berkenaan.

"Ini kerana setiap pesakit mungkin mengalami simptom berbeza.

"Ada yang mengalami beberapa simptom dan ada juga yang hanya mengalami satu simptom seperti ketulan payudara," katanya.

Bagi wanita yang tidak pernah menjalani sebarang pemeriksaan kesihatan, Dr Hafizah menyarankan untuk menjalani pemeriksaan atau ujian saringan yang spesifik mengikut simptom yang dialami mereka.

LAKUKAN ujian darah dan penanda tumor sebagai ujian tambahan ketika pemeriksaan untuk kanser payudara dan kanser kolorektal bagi mendapatkan diagnosis yang lebih tepat.
LAKUKAN ujian darah dan penanda tumor sebagai ujian tambahan ketika pemeriksaan untuk kanser payudara dan kanser kolorektal bagi mendapatkan diagnosis yang lebih tepat.

Ia termasuk ujian mamogram dan ultrasound payudara untuk kanser payudara, kolonoskopi untuk kanser kolorektal (usus), ujian darah dan penanda tumor untuk kanser ovari serta ujian lumuran pap (pap smear test) untuk kanser serviks.

"Anda juga boleh mengambil ujian darah dan penanda tumor sebagai ujian tambahan ketika pemeriksaan untuk kanser payudara dan kanser kolorektal bagi mendapatkan diagnosis yang lebih tepat," katanya.

Dalam pada itu, bagi wanita yang pernah mengalami simptom dan pernah menjalani ujian saringan, mereka perlu menjalani pemeriksaan serta ujian saringan sekali lagi dan mungkin memerlukan pemeriksaan yang lebih terperinci.

Ia perlu terutama jika mereka mengalami simptom semula selepas pemeriksaan yang pertama.

UJIAN pap smear untuk kanser serviks.
UJIAN pap smear untuk kanser serviks.

Kata Dr Hafizah, wanita berusia lebih 40 tahun disarankan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali manakala yang lebih muda, dua tahun sekali.

"Penting bagi wanita untuk mengetahui simptom yang dialami.

"Ia bagi mendapatkan ujian pemeriksaan yang tepat dan spesifik untuk mengetahui jika mereka mempunyai kanser berkenaan atau kanser yang lain.

"Wanita perlu menyedari hakikat bahawa mereka perlu terlebih dahulu bertanggungjawab terhadap kesihatan diri sendiri sebelum dapat menjaga orang lain," katanya.

KOLONOSKOPI untuk pemeriksaan kanser kolorektal (usus).
KOLONOSKOPI untuk pemeriksaan kanser kolorektal (usus).

Sementara itu, menyedari kepentingan berkenaan, SMCV memberi tumpuan kepada kesihatan wanita dan bagaimana mereka dapat tampil lebih berani dalam menjaga kesejahteraan diri melalui kempen #GIRLPOWER sepanjang Oktober ini.

Ia bagi mengalakkan lebih ramai wanita untuk tampil ke hadapan dan menjaga kesihatan mereka dengan pelbagai pakej pemeriksaan kesihatan yang ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 6:10 AM