SEMUA murid SK Taman Sri Pulai berkumpul di kawasan lapang. FOTO ihsan bomba dan penyelamat
SEMUA murid SK Taman Sri Pulai berkumpul di kawasan lapang. FOTO ihsan bomba dan penyelamat
Izlaily Nurul Ain Hussein


“SAYA sempat mendengar dua kali letupan. Mulanya saya sangkakan ada murid bermain mercun,” ujar salah seorang kakitangan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Pulai di sini, yang terbakar mendadak semalam.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari, semua murid, guru dan kakitangan sekolah yang terletak di Jalan Batai 3, dekat Skudai itu diarah mengosongkan bangunan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Kakitangan terbabit yang enggan namanya didedahkan berkata, kebakaran berlaku ketika dia dan petugas lain berada di pejabat sekolah.

“Sesi pembelajaran ketika itu masih berjalan dan berbaki kira-kira 20 minit sebelum selesai waktu persekolahan pada jam 1.10 tengah hari.

“Tiba-tiba kami terdengar dua kali letupan. Disangkakan ada murid bermain mercun. Namun kami terkejut apabila melihat kepulan asap keluar dari bilik suis di tingkat tiga sekolah,” katanya.

Terdahulu kejadian kebakaran sekolah itu yang mempunyai 1,350 murid dan 110 guru serta kakitangan tular di media sosial.

Katanya, bimbang insiden bertambah buruk, pengurusan sekolah segera menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan.

SATU daripada dua bilik darjah yang musnah terbakar. FOTO ihsan bomba dan penyelamat
SATU daripada dua bilik darjah yang musnah terbakar. FOTO ihsan bomba dan penyelamat

Menurutnya, pengurusan sekolah berkenaan baru menjalani latihan kebakaran menyebabkan semua murid, guru dan kakitangan masih dapat mengingati cara berdepan kecemasan dan tidak panik.

“Alhamdulillah, murid pun tiada yang panik. Semua dapat bertindak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba yang bertindak pantas memadamkan kebakaran.

“Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa berlaku dan api juga tidak merebak ke bahagian bilik lain,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Mohamad Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.55 tengah hari sebelum 10 anggota dengan tiga jentera dari dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pihak kami mendapati kebakaran membabitkan tiga bilik di tingkat tiga sekolah. Antara yang terjejas adalah sebuah tandas, bilik suis dan makmal sains.

“Kami turut mendapatkan bantuan empat anggota dengan sebuah jentera dari BBP Pekan Nenas. Operasi tamat pada jam 2.50 petang.

“Kita puji pihak sekolah dan murid kerana segera mengosongkan bangunan dan berkumpul di kawasan yang ditetapkan.

“Mereka berkumpul sama seperti yang kami ajar beberapa minggu lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Ogos 2019 @ 5:01 AM