Ahli keluarga murid membawa pulang anak mereka selepas mengalami tanda sesak nafas, loya dan muntah seperti simptom keracunan dipercayai terhidu gas kimia dari Sungai Kim Kim di Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 2, Masai, Pasir Gudang. FOTO Zain Ahmed
Ahli keluarga murid membawa pulang anak mereka selepas mengalami tanda sesak nafas, loya dan muntah seperti simptom keracunan dipercayai terhidu gas kimia dari Sungai Kim Kim di Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 2, Masai, Pasir Gudang. FOTO Zain Ahmed
Ekhwan Haque Fazlul Haque


SEKOLAH yang terletak dalam lingkungan jarak tiga kilometer dari Sungai Kim Kim di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor diarahkan tutup serta merta.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata, keputusan itu dibuat memandangkan keadaan di kawasan berkenaan yang masih kritikal dan membahayakan murid, guru dan kakitangan sekolah.

Menurutnya, sehingga hari ini, sebanyak 34 sekolah di Pasir Gudang ditutup serta merta dan tiada sebarang aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan sehingga disahkan selamat.

“Selepas melihat keadaan yang semakin meruncing, saya mengarahkan 34 sekolah di sekitar Pasir Gudang ditutup serta merta. Ini untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku kepada murid dan warga sekolah.

“Ingin saya tegaskan Kementerian Pendidikan bekerjasama erat dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga, Sains dan Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi memastikan tahap keselamatan dan kesihatan murid, guru dan kakitangan sekolah menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, Kementerian Pendidikan memandang serius isu berkenaan kerana ia membabitkan nyawa murid, guru dan kakitangan sekolah serta menggesa penjenayah terbabit dibawa ke muka pengadilan dengan segera.

Dalam sidang media selepas melawat Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) di Chow Kit, hari ini, Maszlee berkata, kementerian akan mendapatkan khidmat pakar dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor untuk memastikan insiden pencemaran gas dapat dikawal segera.

“Kejadian ini menjejaskan aktiviti persekolahan namun dalam masa sama kita tidak boleh berkompromi dengan keadaan persekitaran yang boleh menjejaskan kesihatan murid, guru dan kakitangan sekolah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, SBJK adalah contoh terbaik institusi pendidikan di negara ini serius untuk memastikan golongan tidak bernasib baik seperti gelandangan dan anak yang tidak mempunyai sijil kelahiran mendapat pendidikan sebaik mungkin.

Beliau berkata, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan diminta untuk tampil menghulurkan bantuan daripada pelbagai aspek untuk membolehkan lebih banyak sekolah yang membela nasib mereka yang kurang berkemampuan dapat dibina di negara ini.

“Negara luar kagum dan mengambil SBJK sebagai contoh untuk digunakan dalam sektor pendidikan di negara mereka.

“Ini membuktikan usaha mewujudkan SBJK memberi impak positif khususnya dalam memastikan golongan kurang berkemampuan turut menerima pendidikan yang adil,” katanya.

LOKASI 13 sekolah yang diarah tutup. GRAFIK HM online
LOKASI 13 sekolah yang diarah tutup. GRAFIK HM online

Senarai sekolah diarahkan tutup setakat 13 Mac 2019

1. Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Putih

2. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Putih

3. Sekolah Kebangsaan Pasir Putih

4. Sekolah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort

5. Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri Resort

6. Sekolah Kebangsaan Kota Masai 2

7. Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai 2

8. Sekolah Kebangsaan Kota Masai 3

9. Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Masai

10. Sekolah Kebangsaan Kota Masai

11. Sekolah Kebangsaan Perigi Acheh

12. Sekolah Agama Kampung Pasir Putih*

13. Sekolah Agama Taman Pasir Putih*

14. Sekolah Kebangsaan Scientex

15. Sekolah Kebangsaan Taman Mawar

16. Sekolah Menengah Kebangsaan Nusa Damai

17. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Rinting 1

18. Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Cendana

19. Sekolah Seni Malaysia

20. Sekolah Menengah Scientex

21. Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia

22. Sekolah Kebangsaan Taman Pasir Gudang 4

23. Sekolah Kebangsaan Nusa Damai

24. Sekolah Kebangsaan Kopok

25. Sekolah Kebangsaan Cahaya Masai

26. Sekolah Kebangsaan Taman Cendana

27. Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 2

28. Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 3

29. Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 2

30. Sekolah Menengah Dato’ Penggawa Timur

31. Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 3

32. Sekolah Kebangsaan Masai

33. Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Pasir Gudang

34. Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Gudang 4

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mac 2019 @ 5:26 PM