KEADAAN banjir di SK Sungai Tuah pagi tadi. FOTO Harun Yahya
KEADAAN banjir di SK Sungai Tuah pagi tadi. FOTO Harun Yahya
Harun Yahya


HUJAN lebat berterusan sejak semalam menyebabkan tiga sekolah di sini dinaiki air.

Pemangku Ketua Zon Empat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wan Kamarudin Wan Ahmad ketika dihubungi berkata, tiga sekolah terjejas adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Balingiau, SK Ulu Bawan dan SK Sungai Tuah.

“SK Balingiau, murid tahun satu hingga lima kini ditempatkan di makmal komputer sekolah manakala murid tahun enam pula ditempatkan di kuarters guru.

“Sekolah ini mempunyai 98 orang murid, 16 orang guru dan tujuh orang Anggota Kakitangan Perkhidmatan (AKP)” katanya

Di SK Ulu Bawan, sesi persekolahan masih berjalan seperti biasa walaupun banjir menenggelami sekitar kawasan sekolah sedalam 0.6 meter.

“Sekolah itu mempunyai 137 orang murid, 16 guru dan 6 orang Anggota Kakitangan Perkhidmatan (AKP).”

ANGGOTA bomba menjalankan pemantauan di sebuah rumah di Jalan Oya yang dilanda banjir kilat pagi tadi. FOTO Harun Yahya
ANGGOTA bomba menjalankan pemantauan di sebuah rumah di Jalan Oya yang dilanda banjir kilat pagi tadi. FOTO Harun Yahya

Sekolah ketiga yang terjejas banjir di Kanowit hari ini adalah SK Sungai Tuah yang ditenggelami air sedalam 1.2 meter di kawasan padang sekolah dan kawasan-kawasan rendah di sekolah.

“Setakat ini sekolah beroperasi seperti biasa. SK Sungai Tuah mempunyai 53 orang murid, 14 guru dan tujuh orang AKP.” katanya

Katanya, anggota bomba di Kanowit dan Sibu kini dalam keadaan berjaga-jaga berikutan keadaan hujan berterusan di daerah berkenaan sejak semalam.

Di Sibu pula, bomba menerima satu laporan banjir kilat di sebuah rumah penduduk di Jalan Oya.

“Rumah itu dimasuki air sedalam 0.3 meter dan anggota bomba menasihatkan penghuni berpindah ke tempat selamat walaupun air semakin surut. Difahamkan penghuni rumah itu akan berpindah sendiri memandangkan mereka mempunyai kenderaan sendiri dan jalan juga masih boleh dilalui.”

“Banjir difahamkan berpunca dari laluan keluar air yang terhalang akibat kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo.” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Februari 2020 @ 2:17 PM