Khalid Latip

Julau: Dua blok bangunan Sekolah Kebangsaan Sungai Sugai di sini, terbakar, 3.12 petang tadi.

Kejadian dipercayai berlaku akibat litar pintas menyebabkan dua blok bangunan yang menempatkan enam bilik darjah, bilik guru, pusat sumber dan pejabat pentadbiran berkenaan terbakar.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor dan Sarikei dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi memadam kebakaran.

“Pasukan bomba tiba ke lokasi kebakaran yang terletak 53 kilometer dari balai terdekat pada 4.22 petang.

“Kebakaran itu mengakibatkan satu blok bangunan sekolah musnah 100 peratus, manakala sebuah lagi blok yang menempatkan pejabat pentadbiran sekolah musnah 90 peratus,” katanya.

Katanya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kebakaran dapat dikawal pada 5.25 petang tadi.

Difahamkan, ketika kejadian, sesi pembelajaran sudah tamat dan semua murid sudah pulang ke asrama sekolah.

Sekolah itu mempunyai 174 murid, selain 29 guru dan kakitangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2016 @ 7:36 PM
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran. FOTO ihsan Bomba