Abdul Rahemang Taiming

SEBUAH blok bangunan kayu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wallace Bay di Pulau Sebatik, Tawau, musnah terbakar, hari ini.

Kebakaran dipercayai bermula pada jam 12.05 tengah hari itu memusnahkan pejabat pentadbiran dan bilik guru.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera kerana sebahagian besar kakitangan pentadbiran sempat keluar menyelamatkan diri, manakala guru dan pelajar berada di dalam kelas masing-masing.

Difahamkan, ketika kejadian pelajar Tingkatan Empat dan Lima di sekolah itu sedang menduduki peperiksaan semester pertama.

Wallace Bay di Pulau Sebatik yang bersempadan antara Malaysia dan Indonesia tidak mempunyai kemudahan balai bomba, dengan perjalanan dari tanah besar di Tawau ke pulau itu mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan menggunakan bot laju.

Guru, Rafidah Rappe berkata, ketika kejadian, dia bersama beberapa guru yang lain berada di bilik guru menyiapkan kertas peperiksaan sebelum terhidu bau asap.

SEBUAH bangunan menempatkan bilik guru dan pejabat pentadbiran SMK Wallace Bay di Pulau Sebatik, Tawau, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 12.05 tengah hari tadi. -Foto IHSAN PEMBACA
SEBUAH bangunan menempatkan bilik guru dan pejabat pentadbiran SMK Wallace Bay di Pulau Sebatik, Tawau, musnah dalam kebakaran kira-kira jam 12.05 tengah hari tadi. -Foto IHSAN PEMBACA

“Pada mulanya, saya terhidu bau asap sebelum nampak kepulan asap dan api di bahagian bumbung pejabat. Saya bersama rakan guru yang lain segera keluar menyelamatkan diri sebaik mendapati api mula merebak,” katanya ketika dihubungi.

Rafidah yang mengajar subjek Akaun dan Ekonomi berkata, api merebak dengan cepat berikutan cuaca panas mengakibatkan blok pentadbiran dan bilik guru sekolah itu musnah sama sekali.

Seorang lagi guru, Safarin Ali, berkata susulan kejadian itu semua pelajar dibenarkan pulang awal.

Sekolah berkenaan mempunyai 289 murid, 26 guru serta lima kakitangan bukan mengajar.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Sharudy Delamin, ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.09 tengah hari.

Beliau berkata, seramai sembilan anggota digerakkan ke lokasi menaiki bot milik bomba, selain bantuan Pasukan Polis Marin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mei 2018 @ 6:38 PM