GAMBAR daripada rakaman video yang tular. FOTO Ihsan Pembaca
GAMBAR daripada rakaman video yang tular. FOTO Ihsan Pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


SATU video seorang lelaki yang memarahi seorang guru mula tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp, sejak malam ini.

Video berdurasi 3 minit 31 saat itu memaparkan seorang lelaki memarahi seorang guru yang didakwa mengeluarkan kata kurang enak kepada isterinya.

Individu itu dikatakan saudara kepada pelajar sekolah terbabit yang sudah dikenakan tindakan gantung sekolah.

Lelaki itu mendakwa tidak mendapat surat berhubung perkara itu daripada pihak sekolah. Namun, guru itu memaklumkan sudah memberi surat berkenaan kepada pelajarnya.

Lelaki itu juga mengeluarkan kata kurang sopan kepada guru lelaki itu.

Kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Gunung, Bachok.

Dalam video itu, lelaki yang memakai baju hitam memarahi seorang guru yang ditemani seorang lagi lelaki dan mengajak guru itu supaya menyelesaikan masalah mereka di luar sekolah.

Namun, guru itu enggan keluar dari pagar sekolah dan mahu menyelesaikan masalah mereka di kawasan sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, setakat ini, pihaknya tidak mendapat laporan berhubung kejadian itu.

“Kita sedang membuat semakan kes itu kerana didakwa berlaku di sebuah sekolah di Gunung,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp di Kota Bharu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 10:33 PM