LAPORAN portal berita Harian Metro 23 Julai lalu.
LAPORAN portal berita Harian Metro 23 Julai lalu.
Muhamaad Razis Ismail


TEMPOH reman dua beradik yang menyerang guru di sebuah sekolah menengah di Bachok, dilanjutkan dua hari lagi bermula esok.

Sebelum ini, dua beradik berusia 42 dan 30 tahun ditahan reman selama empat hari sejak Selasa lalu dan berakhir hari ini.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, permohonan reman itu dibuat di Mahkamah Majistret Bachok, hari ini.

“Mahkamah benarkan reman dilanjutkan sehingga Ahad ini untuk polis melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323/447 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi.

Akhbar sebelum ini melaporkan mengenai video seorang lelaki memarahi seorang guru tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp, Sabtu lalu.

Video berdurasi 3.31 minit berlaku di sebuah sekolah menengah di daerah ini memperlihatkan seorang lelaki memarahi seorang guru didakwa mengeluarkan kata kurang enak kepada isterinya.

Individu itu dikatakan saudara kepada pelajar sekolah berkenaan yang sudah dikenakan tindakan gantung sekolah.

Lelaki itu mendakwa tidak mendapat surat berhubung perkara itu daripada pihak sekolah.

Susulan itu, kedua-dua beradik ditahan polis jam 5.15 petang, Isnin lalu, ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Julai 2019 @ 8:56 PM