KAKAK mangsa, Nur Azatul Akhma Aris, 19, menunjukkan gambar arwah Muhammad Ajwad yang maut dalam kemalangan.
KAKAK mangsa, Nur Azatul Akhma Aris, 19, menunjukkan gambar arwah Muhammad Ajwad yang maut dalam kemalangan.
Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Seorang pelajar tahfiz tingkatan lima yang sudah menghafaz lebih 28 juzuk al-Quran maut sejurus motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teratak Pulai, dekat Bachok di sini.

Dalam kemalangan jam 6.45 petang kelmarin, mangsa, Muhammad Ajwad Aris, 17, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Kemalangan berlaku apabila motosikal model Suzuki Cup ditunggang mangsa dari arah Teratak Pulai menghala ke Jelawat di sini, melanggar bahagian kanan kereta Proton Saga dari arah bertentangan dipandu seorang wanita berusia 35 tahun.

Akibatnya mangsa tercampak di atas jalan dan mengalami kecederaan parah.

Ibu mangsa, Wan Rohana Wan Ismail, 50, berkata, anak keempat daripada enam beradik itu belajar di Sekolah Menengah Ugama (A) Al-Kauthar, Peringat, dan baru sahaja pulang ke rumah Khamis lalu.

“Saya mengambil arwah di sekolahnya pada jam 9 malam kerana dia mahu pulang untuk mengurut tangannya yang terseliuh selepas bermain bola tampar mewakili sekolah.

“Selepas menunaikan solat asar, arwah keluar dari rumah. Saya menyangka arwah pergi mengurut tangan di rumah bidan berhampiran.

“Namun saya terkejut apabila menerima gambar kemalangannya menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cherok, Nilam Puri di sini, semalam.

Wan Rohana berkata, anaknya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Nilam Puri selepas solat Zohor, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok Deputi Superintendan Abdul Hamid Che Ahmad mengesahkan kes kemalangan itu.

“Mangsa maut di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sebelum diserahkan kepada keluarga.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:17 AM