SALINAN laporan polis dibuat Hazarul.
SALINAN laporan polis dibuat Hazarul.
Firdaus Hashim

“KALAU betul kita ada buat salah, kita cabar sesiapa yang terbabit buat laporan polis.”

Itu cabaran yang dilontarkan Datuk Mohd Hazarul Ifdaz Mohamed Rahim yang juga pemilik serta penaja utama Batu Dua FC musim ini yang didakwa menyerahkan cek tendang selain gagal melangsaikan gaji beberapa pemain terutamanya tonggak import.

Malah, Hazarul atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Tuan Muda’ turut dikaitkan sebagai individu utama yang menjadi punca masalah empat kelab Marcerra United, Kuantan FA, Hanelang FC dan Terengganu City FC (TCFC) hingga menyebabkan bekas pemain serta jurulatih kelab itu menderita tidak menerima gaji dengan anggaran keseluruhan mencecah RM5 juta.

Bekas tonggak import Batu Dua FC, Ljubo Baranin sebelum ini mendedahkan sikap sebenar dan layanan buruk yang diterimanya daripada Hazarul sejak menyertai kelab Liga M3 itu awal musim ini.

Bagaimanapun, Hazarul menangkis segala tuduhan tidak berasas yang dilontarkan Baranin di laman Facebook dan mengakui beliau tidak bersalah.

“Saya orang yang dituduh itu. Sila buat laporan polis dan laporkan juga ke MFL (Liga Bolasepak Malaysia) terus. Malaysia ada undang-undangkan.

“Saya dah buat laporan polis... tunggu pihak yang menuduh pula buat laporan. Sesiapa yang rasa ditipu boleh buat laporan polis mengenai saya dan B2fc (Batu Dua FC),” katanya.

Dalam ruangan komen sama, Hazarul turut menerangkan mengenai isu TCFC yang hingga kini masih gagal menerima sebarang gaji daripadanya.

“Itu (TCFC) bukan urusan saya sebab TCFC bukan kelab saya dan keputusan mesyuarat sudah ada di FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), PBSNT (Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu) dan Exco kerajaan negeri Terengganu.

“Kena tahu beza penaja dan pemilik kelab. Saya salah satu penaja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 6:30 AM