Ahmad Saufi Mansor dan Mohd Azam Shah Yaacob

ISU integriti membabitkan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sering jadi bualan malah ada yang mendakwa mereka turut terbabit dengan kumpulan jenayah terancang.

Sisi gelap segelintir pegawai dan anggota PDRM menyebabkan pasukan dipandang rendah seterusnya mendedahkan mereka yang bertugas dengan cemerlang turut terpalit seterusnya menjadi bahan cemuhan.

Bagaimanapun, pelantikan Ketua Polis Negara (KPN) yang baru, Datuk Seri Abdul Hamid Bador memberi sinar baru buat PDRM di mana ‘orang nombor satu’ pasukan ini cukup tegas dengan misi dan visinya untuk meningkatkan integriti anak buahnya.

Bagi mengulas isu integriti ini, Kafe Ahad menjemput KPN DATUK SERI ABDUL HAMID BADOR sebagai tamu jemputan.

Aktiviti jenayah terancang terus berleluasa. Adakah PDRM akan bekerjasama dengan agensi berkaitan lain bagi ‘menutup’ terus aktiviti terbabit?

Di peringkat awal ini, saya memberi tumpuan untuk membaiki ‘rumah’ (PDRM) saya sendiri. Saya yakin agensi lain yang diberi kuasa untuk membanteras aktiviti jenayah ini mempunyai rancangan dan tindakan masing-masing.

Tetapi bagi PDRM, saya masih di peringkat menumpukan dalam membaiki dan memperkasakan rumah saya sendiri.

Bagaimana pula dengan rasuah, mungkin Datuk Seri sudah ada senarai dan kenal pasti warga PDRM terbabit rasuah?

Cerita-cerita itu memang ada, tapi tak adil bagi saya sekiranya ambil tindakan. Mungkin mereka sudah berubah, di akhir mungkin timbul kesedaran dan sudah berubah. Saya beri peluang.

Belum terlambat lagi dan begitulah saya mempromosikan kehidupan sederhana. Jangan berlumba-lumba dengan orang. Orang nak pakai kereta mewah kita nak pakai kereta mewah.

Amal kehidupan sederhana dan akan menyelamatkan kita daripada godaan rasuah.

Apa kadar peratusan rasuah dalam PDRM?

Susah bagi saya untuk memberikan kadar itu secara statistik, sekiranya persepsi orang ramai (terhadap anggota polis) sebegitu buruk, tetapi saya rasa jumlahnya agak signifikan, (dan) saya tak boleh menafikannya.

Saya sudah menyeru kepada anak buah saya, apa nak dimalukan, tak perlu malu. Apa yang penting, kita perlu akui fakta itu.

Jika nak dinilaikan 10 peratus, 15 peratus, 20 peratus, tak dapatlah saya (mahu berikan) tetapi perkara-perkara yang menjadi topiknya, rasa tidak puas hati orang ramai terhadap perkhidmatan PDRM datangnya daripada setiap peringkat daripada bawah hingga atas.

Saya juga menyeru orang ramai untuk memberi saya sedikit waktu dan yakinlah, setiap warga PDRM sebenarnya sudah dilatih. Mereka sudah didedahkan dengan pelbagai kursus untuk memperkasa jati diri sebagai pemegang amanah.

Insya-Allah, anak-anak buah saya akan memperbaharui tekad untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Misi dan visi Datuk Seri sejurus dilantik sebagai KPN.

Misi dan visi saya ‘simple’ dan tidak ‘complicated’. Semuanya berteraskan kepada memperkasakan integriti setiap warga PDRM.

Saya sudah bermesyuarat dengan pegawai kanan PDRM, malah pada Mesyuarat Jawatankuasa Anti Rasuah, saya tekankan pendirian saya dalam usaha meningkatkan integriti dan melawan rasuah.

Mungkin tidak dapat dihapuskan 100 peratus, tapi jika dapat dikurangkan dengan drastik, ia sudah dikira kejayaan besar, bukan bagi diri saya tetapi bagi negara.

Jika integriti dapat diperkasakan dan kesedaran wujud dalam diri setiap warga PDRM bahawa rasuah adalah jijik, maka saya yakin PDRM dapat menjayakan wawasan kerajaan ke arah ‘good governance’.

Misinya tidak ‘complicated’ kerana PDRM sebenarnya belum sampai ke tahap ‘barah’ tahap tiga atau empat. Saya yakin ramai pegawai-pegawai tinggi polis mempunyai wawasan sedemikian tetapi keadaan sebelum ini tidak ‘subur’.

Selepas berinteraksi dengan mereka, masing-masing berikrar untuk mematuhi apa juga dasar dan apa yang saya bentangkan. Ia memudahkan pencapaian misi dan visi saya.

Apa pendekatan dalam menangani rasuah dalam kalangan warga PDRM kerana ia pasti mengundang rasa tidak puas hati dan kecaman?

Tidak. Pelaku rasuah mesti ingat, mereka adalah komponen kecil dalam PDRM. Jika ada 500 anggota polis yang korup tetapi saya masih ada 125,500 anggota yang baik, yang ‘back up’ (menyokong) ketuanya.

Kini, ramai anak buah saya semakin sedar dan kembali ke pangkal jalan. Mereka sebelum ini memang baik, tidak terbabit dalam apa-apa pun.

Saya juga terima surat dan setiap aduan diarahkan untuk disiasat. Risikonya ada juga aduan itu semata-mata mahu balas dendam. Dia marah bos tak bagi cuti raya misalnya, dia guna kesempatan ini untuk mengelirukan supaya saya ambil tindakan, tetapi saya tidak buat melulu.

Kita akan membuat siasatan dan membuat keputusan selepas mendapatkan nasihat dan pandangan Timbalan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan (di Bukit Aman) serta Ketua Polis Negeri dan bukan keputusan sendiri.

Pasti ada yang ‘bengang’ dengan arahan untuk memutuskan hubungan dengan kumpulan jenayah terancang. Pandangan Datuk Seri.

Golongan akademik di negara ini yang mengkaji ‘criminal justice system’ (sistem keadilan jenayah) terdedah kepada maklumat budaya warga PDRM mempunyai hubungan tidak sihat dan menyalahi undang-undang dengan sindiket jenayah.

Memanglah (arahan) tidak popular kerana perkara itu salah. Saya bertanggungjawab untuk memberitahu mereka bahawa budaya ini menjijikkan, ia menghancurkan bukan saja pasukan malah kerajaan seterusnya tamadun.

Dalam fokus operasi banteras kumpulan jenayah terancang seperti judi, dalangnya kelihatan sukar ditahan.

Ketika ini, tindakan yang kita lakukan dan dilaporkan media hanya tertumpu kepada pelanggan yang pergi berhibur di premis terbabit.

Fokus PDRM kini mesti disasarkan kepada mengambil tindakan ke atas pengusaha premis, dalang dan ketua mereka.

Perbuatan mereka tidak bertanggungjawab terhadap masa depan golongan sasar seperti remaja semata-mata bagi mendapatkan keuntungan haram.

Pada 1990-an, sewaktu teknologi berjudi masih di peringkat awal, pelanggan perlu ke kedai untuk berjudi.

Namun kini teknologi semakin canggih, dengan menggunakan tablet saja mereka boleh memenuhi ketagihan berjudi.

Keuntungan haram ini tidak dicukai dan sebahagiannya dibayar kepada pegawai polis, pihak berkuasa tempatan yang membuat pemeriksaan

Ia merosakkan masyarakat, kerajaan serta negara dan perlu dihentikan.

Tempoh masa diberikan dalam usaha memperkasakan kembali PDRM?

Saya tidak mahu menghukum anak buah tetapi mahu mereka bersangka baik dengan niat kerajaan seperti menubuhkan IPCMC...mereka boleh ubah sendiri.

Sampai bila kita nak guna alasan duit gaji tidak cukup untuk mewajarkan kita melakukan perbuatan menyeleweng (rasuah).

Datuk Seri sering turun padang bertemu anggota bawahan.

Melalui pengalaman sewaktu Op Daulat. Saya turun ke bawah bersama Unit Tindakan Khas, VAT 69, narkotik, Cawangan Khas, Polis Marin dalam usaha menjejak mereka yang bertanggungjawab membunuh pegawai dan anggota saya.

Pengalaman sebagai ketua ketika itu, anggota pangkat rendah ini yang paling berani ke depan, walaupun saya cuba ke depan tetapi mereka ke depan lagi.

Saya nampak anggota pangkat rendah, mereka ambil berat tanggungjawab melindungi ketua mereka. Ia menjadi pengajaran sungguh realistik, jadi apa salahnya saya sebagai pemimpin nombor satu, turun berjumpa mereka.

Jadi, salahkah jika saya tidak mendirikan halangan di depan kalau mereka (anggota polis) mahu berjumpa, tetapi perlu mengikut prosedur dan bukan secara harian.

Setiap kali sekatan jalan raya, orang bercakap polis ‘cari makan’ sedangkan ia adalah perkara yang betul dilakukan. Apa puncanya?

Seperti saya katakan, mungkin perkara (rasuah) ini berlaku sudah sekian lama. Saya sudah beri teguran dan pandangan kepada Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) untuk ambil langkah bagi mengelakkan persepsi (buruk) orang ramai bahawa sekatan jalan raya adalah tempat polis menangguk, mengambil duit orang.

Bagi kereta peronda serta unit rondaan bermotosikal yang menahan orang, memeriksa kenderaan, masing-masing ada SOP yang perlu dipatuhi.

Pengurangan bajet oleh kerajaan untuk pasukan keselamatan termasuk PDRM boleh timbulkan masalah daripada segi keanggotaan, keselamatan seperti di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Di pihak PDRM, selepas segala keperluan asas diberi kerajaan, maka tanggungjawab kami untuk memberi khidmat yang jujur dan beramanah kerana ia tanggungjawab PDRM.

Di pihak kerajaan pula, mereka mengharapkan perkhidmatan terbaik daripada PDRM dan melengkapkan pasukan ini dengan peralatan termoden setaraf dengan apa yang dimiliki pasukan polis di negara maju.

Tetapi kita faham mengenai kekangan kewangan sebab dalam menentukan keselamatan sesebuah negara, ia memerlukan perbelanjaan besar.

Keselamatan ini sesuatu yang mahal, mana-mana kerajaan di dunia ini terpaksa berbelanja dan tanggungjawab PDRM untuk menggunakan peruntukan diberi secara berhemah, bukan diselewengkan.

Isu rasuah, mungkin Datuk Seri mahu lakukan perubahan pada jabatan tertentu dengan melantik orang baru?

Ketika saya ambil jawatan ini, saya bersangka baik dan memberi peluang kepada semua orang.

Saya tak boleh masuk dan ambil tindakan menghukum berdasarkan cerita-cerita lama dan saya tak mahu orang tak bersalah dihukum.

Saya berikan kamu waktu, saya yakin kamu boleh berubah maka berubahlah. Saya beri peluang. Tidak akan ada tindakan sehinggalah mereka sendiri melakukan kesalahan.

Tindakan terhadap tekong darat?

Kita ada ambil tindakan dengan tidak tangkap Pati (pendatang asing tanpa izin) yang nak balik (ke negara asal) kerana tidak cukup prasarana.

Fokus kita adalah kenal pasti dan tangkap tekong ini kerana jumlah mereka ramai, dari Pontian, Johor ke Langkawi, Kedah yang digunakan sebagai jalan pintas keluar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 6:00 AM