ABDUL Hamid. FOTO Eizairi Shamsudin
ABDUL Hamid. FOTO Eizairi Shamsudin
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: "Tidak dinafikan wujud anasir 'mafia' (penjenayah) yang begitu berkuasa hingga mampu mencampuri urusan dalaman (pentadbiran) dan penjawatan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," dedah Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador kepada Harian Metro.

Beliau berkata, perkara itu bukan lagi rahsia mengejutkan sejak beliau menyertai PDRM empat dekad lalu berikutan anasir jahat terbabit kerap berusaha 'membeli' dan 'menguasai' tampuk PDRM.

"Dulu pernah berlaku individu yang mengugut dengan kata-kata 'You mau tukar ke? 24 jam saya boleh bagi you tukar (dipindahkan ke jabatan atau ibu pejabat polis lain ) tau?'

"Cerita ini memang ada (wujud). Tanyalah pada beribu pesara polis di luar sana berkaitan perkara ini.

"Tanya dengan ikhlas...jangan cakap berlapik-lapik (isu campur tangan orang luar). Berlaku atau tidak perkara ini," katanya.

Abdul Hamid berkata, bukan perkara aneh apabila seorang pegawai polis boleh ditukar atas arahan mafia di luar sana.

"Pada suatu ketika, nasib seorang pegawai (polis) sama ada kekal jawatan disandang, naik pangkat atau dapat jawatan empuk-empuk ditentukan orang luar.

"Benarkah berlaku? Tanyalah pesara polis (isu campur tangan ini). Tak elok sangat perkara ini kepada PDRM dan saya harap generasi pelapis polis seterusnya tidak berkompromi dalam isu ini," katanya dalam sesi temu bual eksklusif bersama wartawan.

Menurutnya, tidak sepatutnya berlaku campur tangan luar dalam tugas pegawai polis yang menjalankan siasatan kes.

"Bukan bermakna PDRM letak barrier ( halangan ) namun tidak sepatutnya berlaku campur tangan untuk mengubah dasar dan hala tuju PDRM.

"Memang memeningkan dan ia tidak sepatutnya berlaku (tekanan dari luar). Polis perlu profesional dan ambil tindakan seadil-adilnya," katanya.

Beliau memaklumkan sudah berusaha mengambil pendekatan membersihkan PDRM dari sudut integriti supaya polis tidak dijadikan alat untuk memenuhi agenda pihak tertentu.

"Walaupun saya sudah bersara nanti...saya akan perhatikan sama ada perkara ini berlaku atau tidak. Selagi saya masih jadi Ketua Polis Negara...saya akan kata no (tidak)," katanya.

Menurutnya, suasana negara tidak akan aman sekiranya sistem keadilan tidak dilaksana dengan telus.

Ditanya berhubung ada kalangan penjenayah menjual namanya ketika ditahan anggota polis, beliau memberitahu sudah memaklumkan anggotanya supaya tidak gentar ambil tindakan.

"Memang ada orang (penjenayah) dabik dada dakwa kenal saya atau pegang IGP (Ketua Polis Negara )

"Saya dah maklumkan kepada anggota (polis)...dari balai kecil hingga anggota polis di Bukit Aman supaya jangan takut situasi begini (ugutan penjenayah).

"Balik ke balai polis dan buat laporan. Itu ugutan dan jangan gentar pada individu mendakwa kenal IGP. Jika kawan saya...mustahil individu terbabit gunakan nama saya untuk kepentingan peribadi," katanya.

Pada 23 Mac lalu, Hamid Bador mendedahkan maklumat anggota dan pegawai PDRM didakwa mewujudkan kartel bagi menguasai jawatan penting selain menjatuhkan pegawai atasan.

Menurutnya, individu PDRM terbabit didakwa ada elemen dan hubungan akrab dengan tauke dadah dan judi.

Abdul Hamid memberi amaran supaya hubungan antara polis dan penjenayah terbabit diputuskan sebelum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan.

Susulan pendedahannya, polis Johor menahan 10 pegawai kanan polis dipercayai menjadi tali barut kumpulan jenayah terancang Geng Nicky.

Semua suspek ditahan dalam fasa dua Op Pelican 3.0 dilancarkan sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan bermula 21 April hingga pagi Selasa.

Dua suspek bertugas di Bukit Aman yang ditahan membabitkan seorang superintendan bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah dan seorang inspektor bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Empat pegawai dari kontinjen Selangor turut ditahan membabitkan seorang pegawai berpangkat deputi superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, seorang pegawai cawangan khas berpangkat asisten superintendan dan dua inspektor yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah dan ketua polis balai.

Tangkapan di kontinjen Melaka pula membabitkan seorang pegawai berpangkat deputi superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah.

Sementara dua pegawai berpangkat asisten superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Jabatan Siasatan Jenayah dari kontinjen Kuala Lumpur dan seorang Inspektor yang bertugas di Pulapol Air Hitam, Negeri Sembilan turut ditahan dalam operasi berkenaan.

Difahamkan sejak Hamid Bador dilantik Ketua Polis Negara pada 2019, hampir 100 anggota polis sudah diberkas SPRM atas jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 12:00 PM