Metroahad

DARIPADA 21 agensi penguatkuasaan dipantau Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) didapati agensi yang menerima aduan salah laku tertinggi.

Antara aduan salah laku sering dilaporkan seperti rasuah, tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP), peras ugut, tidak melakukan siasatan dan gangguan seksual kepada pegawai serta anggota bawahan. Statistik EAIC juga merekodkan sepanjang 2011 hingga 2018, 1,919 aduan salah laku dilaporkan membabitkan PDRM yang mana aduan tertinggi direkodkan berbanding agensi penguat kuasa lain di bawah pemantauan suruhanjaya itu.

Skuad Khas Metro Ahad bersama jurugambar Aizuddin Saad dan juruvideo Khairus Ramli menemu bual Pengerusi EAIC Datuk A Aziz A Rahim bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara berkenaan.

Aziz juga diminta memperjelaskan keupayaan suruhanjaya itu dalam memantau isu integriti 21 agensi penguatkuasaan biarpun ia kurang popular berbanding suruhanjaya lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Daripada 21 agensi penguatkuasaan dipantau Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Polis Diraja Malaysia (PDRM) didapati agensi yang menerima aduan salah laku tertinggi.

Antara aduan salah laku sering dilaporkan seperti rasuah, tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP), peras ugut, tidak melakukan siasatan dan gangguan seksual kepada pegawai serta anggota bawahan. Statistik EAIC juga merekodkan sepanjang 2011 hingga 2018, sebanyak 1,919 aduan salah laku dilaporkan membabitkan PDRM yang mana aduan tertinggi direkodkan berbanding agensi penguat kuasa lain di bawah pemantauan suruhanjaya itu.

Skuad Khas Metro Ahad bersama jurugambar Aizuddin Saad dan juruvideo Khairus Ramli menemubual Pengerusi EAIC Datuk A Aziz A Rahim bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai perkara berkenaan.

A Aziz juga diminta memperjelaskan keupayaan suruhanjaya itu dalam memantau isu integriti 21 agensi penguatkuasaan biarpun ia kurang popular berbanding suruhanjaya lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Berikut adalah intipati temubual berkenaan.

EAIC dianggap sebagai ‘pengawas’ integriti terhadap agensi penguatkuasaan di Malaysia. Agensi manakah yang menerima paling banyak aduan salah laku? Perincikan.

Kita mengawasi supaya semua kerja dan tugasan dijalankan pegawai di 21 agensi penguatkuasaan termasuk peranan agensi itu sendiri mengikut undang-undang ditetapkan untuk agensi itu. Berintegriti. Tetapi kalau pelanggaran undang-undang, kalau kita terbaca laporan akhbar contohnya Harian Metro melaporkan mengenai kolong berhampiran sempadan Thailand, kita juga akan siasat.

Selain itu, kita berharap kepada maklumat orang ramai yang berurusan dengan sesuatu jabatan itu. Aduan bukan saja daripada orang awam, kadang-kadang ada kakitangan atau pegawai dalam agensi itu yang tidak puas hati dengan cara pegawai atasan melaksanakan kerja atau mengawasi kerja. Ini kerana kepadanya, arahan itu tidak mengikut peraturan. Kes seperti itu pun ada yang adukan kepada kita. Itu pun kita siasat.

Agensi yang paling banyak diadukan buat masa ini ialah polis. Daripada 2,640 aduan yang kami terima, 1,919 daripadanya membabitkan polis. Statistik menunjukkan polis menyumbang sekitar 75 peratus daripada jumlah aduan mengenai salah laku ini. Data ini bagi tempoh tujuh tahun sejak EAIC ditubuhkan 2011 sehingga kini. Tetapi kita kena ingat juga, jumlah polis seluruh negara berbanding agensi lain adalah ramai. Angka terkini kita dapat daripada pejabat Ketua Polis Negara ialah jumlah keanggotaan mereka di seluruh negara 126,000 orang.

Boleh perincikan bentuk aduan orang ramai terhadap polis?

Secara amnya membabitkan salah laku polis terdapat aduan rasuah atau berunsur rasuah dan yang berkaitannya pula pegawai berkenaan mempamerkan kehidupan lebih daripada kemampuan berbanding jumlah gaji diterima setiap bulan.

Kedua, mereka tidak menyiasat atau melambatkan siasatan. Ketiga, mereka tidak menjalankan siasatan mengikut peraturan yang ditetapkan. Misalnya di bawah SOP polis, apabila ada orang mengadu dia mesti laporkan semula kepada pengadu apa tindakan yang diambil terhadap laporan berkenaan. Kadang-kadang itu yang dia tak laksanakan.

Pengadu bertanya dia tak nak atau tak boleh jawab dan menyebabkan pengadu mengadu kepada kita. Kita siasat dan tanya pegawai berkenaan mengapa tidak beritahu perkembangan siasatan kes kepada pengadu. Jika jawapan pegawai itu tidak munasabah, kita syorkan pegawai itu dikenakan tindakan disiplin atau diberi teguran oleh ketua jabatan. Ini pegawai yang leka atau buat kerja tak kisah. Mereka ingat aduan itu perkara kecil. Itu jenis aduan yang dilakukan orang ramai mengenai pihak polis.

Ini semua membabitkan integriti, contohnya kelewatan siasatan kes. Apabila kita menjawat jawatan awam, kita ada sumpah setia kerja dengan betul, ikut peraturan, tepati masa jadi sekiranya tak buat maka tak ikut peraturan itu. Di mana integriti kamu? Itu isu integriti berbangkit. Gangguan seksual pun ada kita siasat. Kita kenal pasti pegawai terbabit melakukannya, kemudian selepas dikenal pasti, kita ada opsyen.

Jenayah kita rujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan pendakwaan jenayah. Jika tidak sampai peringkat jenayah iaitu tatatertib saja, kita rujuk jabatan polis sendiri untuk dia disiplinkan pegawai itu.

Apabila terima aduan berkait elemen rasuah termasuk kehidupan mewah berbanding gaji pegawai polis, apa yang EAIC boleh lakukan?

Aduan itu kita siasat dulu, kalau jelas daripada siasatan awal kita memang rasuah maka kita terus rujuk kes berkenaan kepada SPRM. Kalau tak jelas rasuah, kita siasat bagi pihak kita sehingga kita dapat tahu adakah benar-benar isu rasuah atau bukan. Jika bukan rasuah, kita syor diambil tindakan disiplin dan sebagainya. Kebiasaannya ada yang jelas rasuah, kita serahkan kepada SPRM sebab mereka memiliki lebih kepakaran.

Sejauh mana syor atau apa yang EAIC ajukan kepada jabatan contohnya polis, mereka patuh untuk lakukan tindakan?

Setakat ini, alhamdulillah mereka ambil tindakan. Tetapi ada sesetengah tindakan diambil tidak sepenuhnya seperti yang kita syorkan. Mereka ada alasan. Contohnya seseorang pegawai itu kita syorkan dibuang kerja tetapi alasan sudah berkhidmat puluhan tahun.

Jabatan hanya turunkan pangkat sebab pegawai itu masih diperlukan polis dari segi siasatan dan sebagainya. Itu budi bicara dia sebab kita tidak boleh campur tangan tentang tindakan disiplin diambil pihak berkuasa atau jabatan. Itu memang bidang kuasa dia. Kita boleh syorkan saja contohnya kesalahan seperti ini sepatutnya hukuman buang kerja.

Tetapi dalam pertimbangan dia, faktor lain diambil kira dan tidak wajar dibuang kerja. Itu terpulang kepada dia. Kita tidak boleh buat jika syor tak membawa perubahan seperti dikehendaki. Kita tak boleh bertindak lebih daripada itu. Itu kedudukan undang-undang kita ada sekarang. Itu sebab kita nak meminda untuk perkuatkan lagi kuasa dan ia dalam proses.

Perlu atau tidak EAIC memiliki kuasa sehingga pendakwaan sesuatu siasatan kes dilakukan?

Perlu memang perlu. Masalahnya orang bertanya sebagai hujah perlukah terlalu banyak agensi yang boleh melakukan pendakwaan. Dari segi kita, memang kita suka jika dapat buat begitu namun keputusan akhirnya adalah satu dasar kepada kerajaan.

Apa bentuk pindaan akta yang dilakukan EAIC?

Antara yang kita nak tambah baik adalah penambahan kuasa dan selain itu kita hendak susun semula kita punya akta untuk lebih teratur dari segi penyiasatan. Ia juga merangkumi masa siasatan kerana banyak aduan mengatakan ia (siasatan) mengambil masa lama namun kita ada SOP yang perlu dipenuhi. Kita berusaha mempercepatkan siasatan tanpa meninggalkan kualiti (siasatan) diperlukan.

Apa yang paling penting yang kita hendak sangat adalah apa saja syor kita kepada jabatan supaya tindakan tatatertib itu dilaksanakan sepenuhnya. Dalam pindaan baru ini kita sedang merangkuminya.

EAIC yang kini berusia tujuh tahun boleh disifatkan masih merangkak. Apa yang Datuk nak tinggalkan dalam suruhanjaya yang mempunyai tanggungjawab sangat besar dalam memantau agensi penguat kuasa yang sering dikaitkan dengan pelbagai salah laku?

Saya bersetuju, kita masih merangkak namun kita punya kepakaran melaksanakan tugas dengan baik. Namun, bergerak ke hadapan saya harap boleh tinggal satu legasi di mana masyarakat boleh percaya dan yakin dengan kita. Jika ada masalah babitkan integriti penguat kuasa, mereka cari kita untuk buat aduan. Saya memberi jaminan setiap aduan diterima diberikan pembelaan sewajarnya (lakukan siasatan).

Sejauh mana EAIC nak pastikan tindakan yang diambil PDRM dijalankan seperti disyor?

Setakat ini kita terima saja laporan tindakan pihak mereka. Kecuali kalau ada maklumat tertentu yang kita terima, maka kita tanya balik. Kita tak boleh terlalu prasangka kepada mereka. Kita kena ada berbaik sangka. Maknanya syor kita suruh buat, dia buatlah. Kalau dia lapor dah buat, maknanya selesailah. Kadang-kadang yang berlaku ialah dia lambat lapor kepada kita. Dalam undang-undang kita, dia kena lapor 14 hari selepas kita cadangkan syor.

Biasanya apa yang disyorkan kepada polis?

Pembaikan daripada segi peraturan sekiranya kesilapan berlaku dalam pelaksanaan peraturan. Kita menambah baik peraturan itu. Kita buat dan bincang dengan polis, kita kata betulkan.

Contoh yang paling jelas kematian dalam lokap. Dulu ada kamera litar tertutup (CCTV) di lokap tak berfungsi. Atau ada CCTV tetapi tak mencukupi. Jadi kita syorkan kepada polis ditambahbaik perkara itu. Satu lagi contoh, individu ditahan polis kadang-kadang ada yang tidak sihat. Jadi kita syorkan supaya siapkan bekalan perubatan di balai. Sekiranya berlaku tahanan mengalami sakit ringan, polis boleh beri tahanan itu ubat dengan segera sebelum bawa ke hospital. Itu memang mereka ikut.

Mereka ikut syor kita. Itu contoh pembaikan yang kita buat. Lokap juga kita syorkan ada pencahayaan. Sebab kita memang melakukan lawatan ke lokap.

Apakah takrifan salah laku?

Di bawah Seksyen 24 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700), salah laku ditakrifkan sebagai tindakan atau tiada tindakan. Contohnya seseorang membuat laporan polis mengenai kemalangan tetapi polis tidak ambil tindakan. Itu adalah salah laku kepada pihak polis. Kita siasat kenapa polis tidak siasat. Sebab tugasnya apabila ada laporan polis, pihaknya kena siasat.

Sekiranya hasil siasatan kita mendapati ada sebab, kita kenal pasti pegawai terlibat dan berikan syor tertentu kepada PDRM. Satu bentuk lagi, pihak polis membuat siasatan tetapi lambat. Misalnya ambil sampai dua tahun baru nak selesai.

Orang yang sudah membuat aduan kepada polis itu, mengadu pula kepada kita. Contohnya saya buat laporan polis 2016, tahun 2017 tak selesai lagi. Kita nak tahu apa sebenarnya berlaku dan kita siasat. Kalau dapat kesan sememangnya polis sengaja lambatkan siasatan contohnya atas sebab pengaruh luar dan apabila berlaku salah laku itu, kita syorkan kepada PDRM untuk ambil tindakan.

Kalau misalnya salah laku itu disebabkan kelonggaran dari segi SOP, kita syorkan pembetulan atau pembaikan SOP berkenaan supaya kelewatan siasatan tidak berlaku.

Seingat Datuk berapa kes salah laku dibawa kepada Peguam Negara untuk proses pendakwaan?

Dua kes kematian dalam lokap (tahanan polis) memang kita bawa ke Pejabat Peguam Negara selain satu kes orang awam yang memukul suspek sehingga mati. Kita cadangkan tindakan diambil terhadap orang awam itu dan pejabat Pejabat Peguam Negara juga maklumkan kepada kita tindakan pendakwaan yang dilakukan.

Peranan dan fungsi EAIC kurang diketahui umum berbanding SPRM? Kenapa?

Saya akui dari segi publisiti EAIC agak kurang menyerlah. Banyak sebab. Pertamanya, untuk kita mengiklankan walaupun di media kerajaan, kita kena bayar kos membabitkan isu kekangan bajet. Saya difahamkan nak buat beberapa minit saja pun RM50,000 kena belanjakan.

Tetapi kita ada cara lain nak promosi seperti beberapa program misalnya Bersama Masyarakat. Selain itu kita juga baru-baru ini di TBS (Terminal Bersepadu Selatan) iaitu program ‘Laporkan Salah Laku’. Itu kita dapatlah liputan media yang kita berharap orang ramai dapat tahu mengenai EAIC. Selain itu, kami juga ada laman sesawang, Instagram yang boleh diakses awam. Kita akui kurang publisiti.

Jujurnya, kita cuma dapat liputan meluas apabila membuat sesi pendengaran awam mengenai kematian dalam lokap polis iaitu setakat ini dua sesi. Laporan berkenaan juga boleh diakses dalam talian menerusi laman sesawang EAIC.

Bagaimana EAIC anggap aduan berjaya diselesaikan?

Kita anggap tugas kita selesai apabila kita siasat dan suruhanjaya mengeluarkan syor kepada jabatan ataupun agensi berkaitan.

Selain PDRM, mohon senaraikan agensi lain yang kerap EAIC terima daripada aduan masyarakat?

Jabatan Imigresen Malaysia di tempat kedua dalam senarai iaitu 134 aduan dari 2011 hingga 2018. Berbanding polis 243 untuk tahun ini saja, angka aduan terhadap imigresen adalah sedikit. Seterusnya diikuti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Statistik penuh anda boleh semak dalam laman sesawang.

Tugas mengawas integriti 21 agensi, adakah keanggotaan EAIC mencukupi?

Nak cakap cukup, bermakna itu bohong. Memang tak cukup. Polis saja 126,000 orang seluruh negara, itu belum lagi imigresen, JPJ dan sebagainya. Agensi berkenaan juga kebanyakannya ada di setiap negeri malah di sempadan, pelabuhan laut dan udara.

Kami hanya ada di Putrajaya. Daripada segi pegawai siasatan senior yang kami ada dipinjamkan dari Pejabat Peguam Negara dan ada juga dari SPRM. Akta kita 2009 tetapi penubuhan Suruhanjaya 2011, maknanya baru tujuh tahun kami beroperasi.

Kalau orang kiranya baru nak masuk darjah satu. Muda lagi. Pengalaman tidak ada sebab itu kita pinjam pegawai berpengalaman daripada agensi lain khususnya segi siasatan. Lagipun kekuatan kita adalah 80 staf semua peringkat. Penguatkuasa saja kita ada 20 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 9:25 AM
TEMURAMAH bersama Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Datuk A. Aziz A. Rahim di Putrajaya. FOTO/AIZUDDIN SAAD
TEMURAMAH bersama Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Datuk A. Aziz A. Rahim di Putrajaya. FOTO/AIZUDDIN SAAD