DR  Zurinawati bersama suami dan empat anak mereka  menyambut Aidilfitri di Christchurch, New Zealand.
DR Zurinawati bersama suami dan empat anak mereka menyambut Aidilfitri di Christchurch, New Zealand.
Iskandar Shah Mohamed


“ALHAMDULILLAH, saya bersyukur kerana kami enam beranak masih diberi peluang berkumpul dan beraya bersama selepas tragedi hitam itu.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan keluarga kami terutama suami,” kata Prof Madya Dr Zurinawati Mohi, 48, isteri kepada rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian tembakan di Masjid An-Noor, Christchurch, New Zealand, Mac lalu.

Mohd Nazril Hisham Omar, 46, yang ditembak di pinggang dan ibu jari kaki kini berupaya untuk berjalan menggunakan alat bantuan namun masih perlu menjalani rawatan susulan.

Dr Zurinawati yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam berkata, dia masih berada di New Zealand sejak tragedi berkenaan untuk menjaga suami dan tiga anaknya.

“Dia (suami) semakin pulih dan dapat berjalan dengan alat bantuan namun tidak boleh berdiri lama kerana masih menjalani rawatan lanjut.

“Berbekalkan nasihat keluarga, doktor dan rakan, saya gembira kerana trauma dialaminya semakin kurang kerana sudah empat kali ke lokasi kejadian (masjid) untuk menunaikan solat dan berbuka puasa sejak sebulan lalu,” katanya.

Menurut ibu kepada empat anak itu, dia akan terus menjaga suaminya yang kini masih dalam proses pemulihan dan penyembuhan.

“Syukur kerana usia dia masih panjang dan segala urusan kami dipermudahkan Allah SWT kerana diberikan kesihatan baik untuk menjaganya.

“Apa yang penting adalah keadaan suami dan saya akan terus menemaninya sehingga pulih sepenuhnya,” katanya yang mengambil cuti separuh gaji.

Kata Dr Zurinawati, dia sememangnya pernah meraikan Aidilfitri di New Zealand ketika menuntut di negara itu pada 2007.

“Namun, keadaan kini berbeza kerana saya perlu menjaga suami dan semua anak.

“Lebaran kali ini, kami berkumpul bersama komuniti Islam untuk puasa sepanjang Ramadan yang berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau terharu dengan penerimaan baik rakyat New Zealand yang antaranya masih menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa.

“Kami dipeluk erat ketika bertemu dan jambangan bunga masih diletakkan di lokasi tragedi selain menempatkan kawalan polis,” katanya.

Terdahulu, Nazril Hisham antara tiga rakyat Malaysia yang cedera ditembak pengganas dalam kejadian serangan pengganas di New Zealand 15 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 6:05 AM