Rosimah menunjukkan gambar Mohd Nazril yang masih mendapatkan rawatan di New Zealand. FOTO Muhamaad Razis Ismail
Rosimah menunjukkan gambar Mohd Nazril yang masih mendapatkan rawatan di New Zealand. FOTO Muhamaad Razis Ismail
Muhamaad Razis Ismail


“MOHD Nazril masih lagi trauma dengan kejadian itu,” kata Rosimah Abdul Rashid, 57, kakak tiri Mohd Nazril Hisham Omar, 46, yang cedera dalam insiden tembakan di Masjid An-Noor, Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Dalam kejadian berdarah itu, Mohd Nazril cedera pinggang dan ibu jari kaki kiri.

Rosimah berkata, perkara itu diceritakan isteri Mohd Nazril, Profesor Madya Dr Zurinawati Mohi, 48, di dalam kumpulan WhatsApp keluarga yang ketika ini berada di Hospital Christchurch menemani suaminya.

Katanya, sejak kelmarin, adiknya itu sudah boleh bercakap dan menceritakan semula kejadian menimpanya.

“Saya dimaklumkan, keadaan Mohd Nazril stabil selepas menjalani pembedahan namun dia masih trauma dengan kejadian itu. “Siapalah yang tidak terkejut apabila melihat depan mata, kejadian tembakan yang meragut puluhan nyawa.

“Dia (Mohd Nazril) tidak boleh lihat orang memakai uniform polis kerana terbayang penembak itu yang memakai pakaian sama pada hari kejadian,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Kiat, Pasir Mas hari ini.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian menimpa Mohd Nazril 2 petang Jumaat lalu selepas dimaklumkan salah seorang anaknya.

“Anak beritahu Pok Su (Mohd Nazril) ditembak ketika solat Jumaat. Saya cuba menenangkan diri kerana bimbang terkena serangan jantung.

“Hanya selepas betul-betul bertenang baru saya periksa kumpulan Whatapps keluarga dan melihat sendiri video kejadian itu,” katanya.

Pesara kerajaan itu berkata, biarpun mereka berbeza ayah namun hubungan mereka rapat seperti adik beradik kandung.

“Setiap kali Mohd Nazril balik kampung, dia dan anaknya singgah ke rumah saya malah jika berdepan masalah, dia rujuk saya.

“Saya mengharapkan rakyat Malaysia terus mendoakan Mohd Nazril pulih seperti sedia kala,” katanya.

Muka depan Harian Metro hari ini melaporkan Mohd Nazril yang cedera ditembak terselamat selepas ditimpa banyak mayat dalam insiden tembakan Masjid An-Noor.

Insiden itu turut menyebabkan dua rakyat Malaysia, Rahimi Ahmad, 39, dan Mohd Tarmizi Shuib, 46, parah manakala seorang lagi, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, dilaporkan masih gagal dikesan.

Sehingga kini, angka kematian akibat insiden itu meningkat kepada 50 orang.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 2:02 PM