ZURINAWATI (depan kiri) bergambar bersama Nazril Hisham dan anaknya di Christchurch, New Zealand. FOTO Ihsan keluarga Zurinawati
ZURINAWATI (depan kiri) bergambar bersama Nazril Hisham dan anaknya di Christchurch, New Zealand. FOTO Ihsan keluarga Zurinawati
Iskandar Shah Mohamed


“ALHAMDULILLAH, saya bersyukur kerana kami enam beranak masih diberi peluang berkumpul dan beraya bersama selepas tragedi hitam itu.

“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus mendoakan kesejahteraan keluarga kami, terutama suami,” kata Prof Madya Dr Zurinawati Mohi, 48, isteri kepada rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian tembakan di Masjid An-Noor, Christchurch, New Zealand, Mac lalu.

Mohd Nazril Hisham Omar, 46, yang ditembak di pinggang dan ibu jari kaki itu kini sudah berupaya untuk berjalan menggunakan alat bantuan berjalan namun masih menjalani rawatan susulan.

Zurinawati yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam berkata, dia masih berada di New Zealand sejak tragedi untuk menjaga suami dan tiga anaknya.

“Dia (suami) semakin pulih dan dapat berjalan dengan alat bantuan, namun tidak boleh berdiri agak lama kerana masih menjalani rawatan lanjut.

“Berbekalkan nasihat keluarga, doktor dan rakan, saya gembira kerana trauma dialaminya semakin positif kerana sudah empat kali pergi semula lokasi kejadian (masjid) untuk menunaikan solat dan berbuka puasa sejak sebulan lalu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Shah Alam, hari ini.

ZURINAWATI (paling depan) bergambar bersama keluarga di Christchurch, New Zealand. FOTO Ihsan keluarga Zurinawati
ZURINAWATI (paling depan) bergambar bersama keluarga di Christchurch, New Zealand. FOTO Ihsan keluarga Zurinawati

Menurut ibu kepada empat anak itu, dia akan terus menjaga suaminya yang kini masih dalam proses pemulihan dan penyembuhan.

“Syukur kerana usia dia masih panjang dan segala urusan kami dipermudahkan Allah kerana diberikan kesihatan yang baik untuk menjaganya.

“Apa yang penting adalah keadaan suami dan saya akan terus menemaninya sehingga pulih sepenuhnya,” katanya yang kini mengambil cuti separuh gaji.

Kata Zurinawati, dia sememangnya pernah meraikan Aidilfitri di New Zealand ketika menuntut di negara itu pada 2007.

“Namun, keadaan kini mungkin berbeza kerana saya perlu menjaga suami dan semua anak.

“Pada lebaran kali ini, kami turut berkumpul bersama komuniti islam lain. Ibadat puasa sebelum ini juga berjalan dengan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut terharu dengan penerimaan baik rakyat New Zealand yang antaranya masih menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa.

“Kami dipeluk erat mereka dan jambangan bunga juga masih diletakkan di lokasi tragedi selain menempatkan kawalan polis di situ,” katanya.

Nazril Hisham antara tiga rakyat Malaysia yang cedera ditembak pengganas dalam kejadian serangan pengganas di New Zealand pada 15 Mac lalu.

Kejadian tembakan pada jam 1.40 tengah hari Jumaat (waktu tempatan) di Masjid An-Noor dan Masjid Linwood itu mengorbankan 49 nyawa manakala lebih 40 cedera.

Anak lelaki kepada seorang mangsa, Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, turut disahkan terkorban dalam serangan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 10:46 AM