NUR (kiri) ketika dibawa bertemu ibunya ibunya. FOTO Zuliaty Zulkiffli
NUR (kiri) ketika dibawa bertemu ibunya ibunya. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


“SAMBUTAN Aidilfitri kali ini, amat bermakna kerana saya berpeluang menyambutnya dengan emak.

“Walaupun hanya sekejap, tetapi cukuplah dapat melepaskan kerinduan kerana kami tinggal berjauhan,” kata remaja perempuan yang dikenali sebagai Nur, 13.

Remaja itu yang dibawa oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kota Setar dari Negeri Sembilan dipertemukan dengan ibu kandungnya yang berusia 47 tahun yang juga penagih dadah dan masih di bawah pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), pada 11.30 pagi.

Nur kini ditempatkan sementara Rumah Kanak-kanak Rembau, Negeri Sembilan kerana terabai ketika tinggal bersama keluarganya yang bermasalah akibat dadah.

Remaja itu diselamatkan oleh pegawai JKM Kota Setar, AADK Kota Setar dan Pusat Khidmat Parlimen Kota Setar selepas dihubungi guru sekolah remaja itu, tahun lalu.

Guru sekolah memaklumkan yang Nur mempunyai masalah di sekolah dan kerap menyendiri selain pernah makan dalam tandas seorang diri.

Nur berkata, dia pernah menjadi mangsa rogol oleh abang kandungnya yang berusia 20-an beberapa kali, dua tahun lalu di rumah mereka di Alor Setar.

“Abang selalu buat (rogol) dan saya pernah meronta untuk melepaskan diri tapi dia tarik tangan saya dengan kuat sebelum merogol saya berkali-kali.

“Kejadian itu berlaku banyak kali ketika emak dan ayah tiada di rumah. Akhirnya saya memberitahu perkara itu kepada emak kerana tidak tahan menjadi mangsa abang sehingga dia ditangkap polis,” katanya ketika ditemui di Tanjung Charlie, di Alor Setar hari ini.

Nur berkata, dia pulang ke Alor Setar sementara waktu dan menumpang di rumah seorang guru wanita di sekitar kawasan Alor Setar ini yang secara sukarela mahu menjaganya sehingga cuti sekolah habis.

Katanya, dia mahu melupakan kisah silamnya yang dibesarkan oleh keluarga bermasalah yang kebanyakannya penagih dadah.

“Kami ada enam beradik tetapi kesemua adik-beradik yang lain tinggal dengan keluarga angkat masing-masing dan kami jarang berjumpa.

“Walaupun emak penagih tetapi dia tetap ibu kandung yang melahirkan saya selain berdoa dia kembali ke jalan benar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Setar, Chan Ming Kai berkata, remaja perempuan itu adalah antara 12 remaja dan kanak-kanak yang diselamatkan akibat tekanan hidup tinggal bersama keluarga yang bermasalah dengan dadah.

Beliau berkata, mereka dibawa pulang dari pelbagai institusi rumah kanak-kanak di seluruh Malaysia untuk pulang berhari raya bersama keluarga masing-masing.

“Daripada jumlah 12 kanak-kanak dan remaja dari tujuh keluarga ini, ada di antara mereka di bawah kawasan Parlimen Pokok Sena, Kota Setar dan Kuala Kedah.

“Untuk hari ini, kita akan bantu remaja ini dan ibunya membeli pakaian hari raya dan biar mereka pilih sendiri supaya mereka merasai kegembiraan dan sokongan yang kami berikan kepada mereka,” katanya.

Ming Kai berkata, peranan masyarakat juga sangat penting dalam menyalurkan maklumat berkaitan anak-anak yang hidup dalam keluarga yang ada kaitan dengan dadah supaya mereka dapat diselamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 2:44 PM