Zuliaty Zulkiffli


KANAK-kanak 10 tahun dan enam beradiknya yang lain perlu dipisahkan untuk mengelakkan mereka terus terjebak dengan dadah serta gejala sosial yang lain termasuk sumbang mahram dan kecurian di kawasan kampung berkenaan.

Pensyarah Program Psikologi dan Kaunseling Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Noor Azniza Ishak berkata, beliau mencadangkan supaya pihak berkaitan untuk memisahkan adik-beradik berkenaan untuk kebaikan mereka.

Beliau berkata, mereka perlu diletakkan di pusat pemulihan atau diberi perhatian sepenuhnya bagi mengelakkan terjebak dalam gejala lebih buruk.

Menurutnya, 7 beradik itu perlu dipisahkan kepada beberapa kumpulan tertentu supaya mendapat perhatian sewajarnya bagi memulihkan kembali keadaan mereka.

Daripada penilaian beliau, kesemua mereka yang berusia 10 hingga 30 tahun itu dipercayai kurang kasih sayang selepas kematian ibu bapa.

Lebih memburukkan keadaan, kanak-kanak berusia 10 tahun yang berlainan ibu pula turut tidak merasai belaian kasih sayang keluarga.

"Disebabkan itulah dia tidak berminat untuk belajar tetapi nasib tidak baik apabila tinggal bersama kakak dan abangnya yang juga menagih dadah, menyebabkan dia ingin mencuba atas rasa ingin tahu.

"Dalam kes ini, saya fikir kanak-kanak dan abangnya yang masih remaja berusia 16 dan 17 tahun serta dua kakaknya itu mungkin masih baru mencuba dadah manakala dua lagi abangnya termasuk seorang yang masih direman Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) serta abang kedua yang juga pengawal keselamatan adalah penagih.

"Kalau kita tak lakukan dari sekarang, mungkin mereka akan mencari benda lain, kalau tak dapat syabu, mungkin mereka akan mencari dadah lain kerana ketagih," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas laporan berita semalam selepas mendapati tujuh beradik didapati positif dadah jenis syabu termasuk murid berusia 10 tahun ketika pemeriksaan oleh pihak berkuasa di rumah mereka di Desa Keda, Kampung Bukit Pokok Sena semalam.

Pemeriksaan dilakukan AADK Kota Setar/Pokok Sena bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Wilayah Kedah (KEDA) dan penghulu Bukit Lada yang kemudian melakukan ujian saringan awal terhadap mereka sebelum mendapati kesemuanya positif dadah.

Dr Noor Aznida berkata, ini bukanlah kes baru membabitkan pelajar sekolah tetapi ramai lagi pelajar sekolah yang didapati terbabit dengan kegiatan dadah yang perlu diberi perhatian.

Beliau berkata, dalam kes tujuh beradik ini, masyarakat sekeliling juga perlu memainkan peranan untuk mengambil tahu apa yang mereka lakukan bagi mengelakkan mereka terus terjebak dengan gejala tidak sihat itu.

"Mungkin mereka memerlukan masa yang agak lama untuk pulih, namun ia bergantung pada tahap dadah yang ada dalam badan mereka, jadi mereka perlu diberi pemulihan untuk dibentuk semula," katanya.

Harian Metro semalam melaporkan kanak-kanak itu dibawa oleh JKM ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan ditempatkan di wad kanak-kanak untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala dua abangnya yang berusia 16 dan 17 tahun pula diberi rawatan sebagai pesakit luar manakala empat beradik yang lain diletakkan di bawah pengawasan AADK.

Berita berkaitan

Awat hangpa jadi lagu ni...?

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 8:36 PM