NUR Izzati melalui pelbagai cabaran sepanjang bertugas sebagai pegawai AADK. FOTO Saifullizan Tamadi
NUR Izzati melalui pelbagai cabaran sepanjang bertugas sebagai pegawai AADK. FOTO Saifullizan Tamadi
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

NIAT murni Nur Izzati Naim, 32, yang bertugas sebagai pegawai di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) adalah untuk membantu penagih bebas daripada pengaruh dadah dengan menahan seterusnya menghantar mereka ke pusat pemulihan.

Bagaimanapun, ia tidak dihiraukan penagih malah Nur Izzati dituduh mempunyai agenda lain iaitu mahu membalas dendam.

Bukan setakat itu saja, penagih terbabit turut membuat aduan di Bahagian Integriti Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap Nur Izzati.

Ia menyebabkan Nur Izzati dipanggil ke Ibu Pejabat AADK untuk memberikan penjelasan mengenai perkara itu kerana disangka ada kaitan dengan masalah integriti.

Menurutnya, dia berjaya mempertahankan diri dan tangkapan ke atas penagih dilakukan kerana mahu membantu mereka mendapatkan rawatan pemulihan.

“Penagih ini pernah mempunyai rekod sebelum ini dan kerana itu peluangnya dihantar ke pusat pemulihan juga tinggi seperti mana analisis yang dilakukan AADK.

“Peristiwa ini memberi kesan terhadap diri saya, ia membuatkan saya sedih dan kecewa,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sokongan keluarga terutama bapa, Naim Suradi, 60, membuatkannya bersemangat untuk meneruskan kerjaya itu.

“Saya perlu ingat semula niat asal saya memilih kerjaya ini enam tahun lalu iaitu mahu membantu orang Melayu yang majoritinya adalah penghuni penjara angkara dadah.

“Perkara ini dikongsikan ayah yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai penjara,” katanya.

Menurut Nur Izzati, sejak bertugas di AADK, baru dia mengetahui ada banyak dadah sintetik dalam pasaran.

Setiap tahun pastinya ada dadah sintetik baharu dihasilkan dan terbaharu ialah opiat.

“Dadah sintetik ini berbahaya kerana diperbuat daripada campuran pelbagai bahan kimia yang boleh merosakkan otak penagih.

“Dalam otak manusia ada bahan kimia dikenali sebagai ‘dopamine’ dan apabila bahan ini tinggi, ia membuatkan seseorang tidak boleh mengawal pemikiran dan tindak-tanduk lain,” katanya.

Nur Izzati berkata, kejadian pembunuhan membabitkan kanak-kanak umpamanya mempunyai kaitan dengan masalah dadah oleh pelaku.

Katanya, sekiranya tahap penagihan seseorang penagih itu teruk, ia mendorong mereka bertindak agresif ke atas orang lain.

Justeru, katanya, ibu bapa dan masyarakat perlu mengamalkan sikap prihatin terhadap persekitaran mereka kerana AADK pernah menahan penagih dadah berusia 12 tahun.

“Bukan hanya tunggu dan bertindak apabila anak mereka sudah terjebak dalam najis dadah. Pada masa itu, nasi sudah menjadi bubur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 9:40 AM