ANAK yatim turut mendapat duit raya.  FOTO: Mohd Fadli Hamzah
ANAK yatim turut mendapat duit raya. FOTO: Mohd Fadli Hamzah
Sudirman Mohd Tahir


MENGAMBIL keberkatan bulan Ramadan, syarikat penerbitan Megapine (M) Sdn Bhd milik pelakon Nazia Mustafar dan suami, Hazil Izham Ismail menganjurkan majlis Iftar Ramadan dan sumbangan duit raya.

Pada majlis itu, seramai 60 anak yatim daripada Rumah Anak Yatim dan Asnaf Baitul Rahmaniah (Bairah) dan Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Sri Kundang, Kuala Kubu Bharu diraikan.

Nazia, 43, atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafar, berkata, itu kali pertama syarikatnya menganjurkan majlis seumpamanya selepas 12 tahun beroperasi.

“Satu kebanggaan juga apabila terus diberi kepercayaan stesen TV untuk menerbitkan produk berkualiti. Kebetulan, kami baru menyiapkan tiga telefilem dan bakal ditayangkan di RTM tidak lama lagi. Alang-alang nak dilancarkan, kami ambil kesempatan untuk meraikan anak yatim sekali.

“Dalam masa sama, kami mahu berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan. Insya-Allah dengan sedikit sumbangan ini dapat menceriakan sambutan Aidilfitri mereka,” katanya.

Menurut Nazia, dua rumah kebajikan yang dipilih itu atas faktor kesesuaian mereka sebagai penerima bantuan.

“Dua rumah anak yatim ini memang yang betul-betul susah. Saya yang pergi cari sendiri. Saya mahu mereka merasai kegembiraan seperti kanak-kanak lain.

“Dalam majlis itu, ada anak-anak yatim yang tiba lewat kerana bas yang membawa mereka rosak di tengah jalan. Saya bimbang jika mereka tak sempat sampai. Alhamdulillah, Allah permudahkan.

“Saya berharap majlis ini akan dapat dibuat lagi pada masa akan datang. Berkat doa anak-anak yatim ini, insya-Allah rezeki sentiasa ada untuk syarikat kami sekali gus dapat membantu golongan memerlukan,” katanya.

NAZIA bersama suami dan anak-anak.
NAZIA bersama suami dan anak-anak.

Pada majlis itu, turut hadir menceriakan anak-anak yatim adalah barisan pelakon bagi tiga telefilem iaitu Ku Genggam Kunci Syurga, Di Penghujung Fatamorgana dan Jam Tangan Pak Su seperti Fasha Sandha, Aidil Aziz, Ieda Moin, Fezrul Khan, Amar Asyraf, Sharnaaz Ahmad, Fauziah Nawi, Jalil Hamid dan ramai lagi.

Nazia berkata, tiga telefilem itu bakal ditayangkan menerusi slot khas iaitu sempena Aidiladha, Hari Bapa dan umum.

SEDIA DI BELAKANG TABIR

Berkongsi mengenai kedudukannya sebagai penerbit, Nazia berkata, dia sudah bersedia untuk memberi fokus kepada kerja belakang tabir.

“Diakui sebelum ini saya memang tak pernah dedahkan diri sebagai penerbit. Dalam masa sama saya juga jalankan beberapa perniagaan. Kalau dulu saya dedahkan, kebanyakan penerbit tak nak ambil berlakon.

“Sekarang saya sudah bersedia berada di belakang tabir sepenuh masa. Kalau dulu, syarikat banyak terbitkan program berbentuk majalah, masakan dan travelog. Drama panjang memang jarang.

“Saya tidak kisah berada belakang tabir, tapi minat saya masih dalam bidang lakonan. Kalau sesuai, saya berlakon juga untuk produksi sendiri. Ketiga-tiga telefilem ini saya berlakon untuk lepaskan gian,” katanya.

Bagaimanapun, Nazia tidak menolak untuk berlakon dengan produksi lain.

“Kalau ada orang lain panggil, saya masih berlakon. Selagi orang terima, saya akan terus berlakon. Pada peringkat awal dulu, saya tak dedahkan sebab takut orang tak akan ambil. Sekarang apabila umur mencecah 43 tahun, saya bersedia. Siapa nak ambil, saya okey.

“Sebenarnya, dalam industri ramai tahu saya penerbit. Orang luar saja tak tahu. Kadang-kadang yang panggil berlakon pun kawan-kawan saja,” katanya.

Walaupun jarang mendapat slot menarik di stesen TV lain, Nazia tetap bersyukur kerana syarikatnya masih bertahan.

“Alhamdulillah, sepanjang 12 tahun syarikat berjalan dengan baik walaupun tak dapat banyak slot menarik. Pernah dapat, tapi orang tak tahu itu syarikat saya. Antaranya, buat travelog satu Asia. Dalam erti kata lain, kebanyakan slot yang dapat adalah slot A+ dengan RTM.

“Selama ini saya berusaha naikkan nama syarikat. Alhamdulillah, kalau di RTM orang memang kenal nama syarikat kami. Saya sebagai pelakon mesti cerewet nak terbitkan produk bagus. Saya hantar yang berkualiti saja.

“Stesen TV lain saya sudah cuba, tapi tak terdedah sebab itu orang tak kenal syarikat saya. Macam sekarang, sudah terbuka. Sebelum ini dah pernah buat dengan Astro,” katanya.

Mengenai kehidupan peribadi, Nazia yang sudah dikurniakan empat anak bersyukur dengan kehidupan dilalui.

“Saya berkahwin pada usia 30 dan suami ketika itu 32. Disebabkan itu agak ‘rushing’ juga untuk dapatkan anak. Selagi boleh, kami nak anak.

“Apabila sudah ada empat, saya berasakan sudah cukup. Ditambah pula dengan usia yang semakin tua,” katanya.

Empat anak mereka ialah Mia Qaisara, 11, Qaliff Izham, 10, Qaiem Quzey Izham, 8, dan Mia Qaleessa, 5.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 5:00 AM