Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Awal Ashaari berkongsi pengalaman kali pertama berlakon dengan kanak-kanak istimewa sindrom down dalam telefilem Sinar Ramadhan Untuk Amanda.

Awal, 38, atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari berkata, perasaannya bercampur baur apabila menjayakan babak bersama adik Naura Arissa, enam tahun dan Ariana, empat bulan.

“Sebelum ini saya pernah berlakon dengan kanak-kanak normal, jadi sudah biasa. Namun, berbeza dalam telefilem ini yang mana menampilkan pelakon kanak-kanak istimewa yang di panggil anak syurga.

“Kebetulan dalam cerita ini anak saya bersama Nina Iskandar dilahirkan sindrom down. Malah, babak bersama bayi pun pihak penerbit mencari bayi sindrom down.

“Diakui, bukan mudah menjayakan babak bersama. Disebabkan kita tidak biasa, jadi tidak tahu macam mana nak kawal. Mujur kedua ibu bapa adik Arissa ada di lokasi. Sedikit sebanyak mereka membantu,” katanya kepada Harian Metro.

Awal yang ditemui di lokasi penggambaran telefilem ini di sini berkata, setiap kali babak dengan adik Arissa mereka tidak boleh buat dalam keadaan tergesa-gesa.

“Kalau dalam satu hari saya ada babak dengan adik Arissa, kru kena rancang sebaiknya. Kami tidak boleh nak cepat saja sebab kita kena tengok juga ‘mood’ adik Arissa.

“Difahamkan, ’mood’ dan emosi kanak-kanak seperti mereka tidak boleh dijangka. Kalau dia tak nak buat, dia takkan buat. Jadi, kami kena tunggu. Pendek kata, keutamaan diberikan kepada adik Arissa.

“Adik Arissa pernah merajuk sebab dia fikir kena marah betul dengan saya walhal kami sedang berlakon. Nak tak nak, kena pujuk semula,” katanya.

Dalam masa sama, Awal ingin membetulkan persepsi netizen yang tanpa usul periksa mengecam ibu bapa adik Arissa.

“Sebelum ini saya ada memuat naik gambar bersama adik Arissa. Tak sangka pula, netizen pergi ke IG ibunya dan kecam.

“Mereka persoalkan kenapa benarkan kanak-kanak itu bekerja. Sedangkan niat mereka adalah untuk menunjukkan realiti yang berlaku dalam masyarakat,” katanya.

Telefilem arahan Heykal Hanifah itu turut menampilkan pelakon Nina Iskandar, Khatijah Tan, Raja Azmi dan Rahim Jailani.

Telefilem ini bakal disiarkan pada Ramadan ini di slot cerekarama TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 2:33 PM