TUAH Intan Najuwa pegang watak Hanan Khaira berterusan apabila drama ini tercalon dalam kategori Drama Pilihan di Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL 2019).
TUAH Intan Najuwa pegang watak Hanan Khaira berterusan apabila drama ini tercalon dalam kategori Drama Pilihan di Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL 2019).
Ridzuan Abdul Rahman


WALAUPUN baru dua tahun bergelar pelakon, tuah menyebelahi gadis cantik, Intan Najuwa, 21, apabila berjaya mencuri tumpuan peminat.

Popularitinya bermula selepas membawakan watak Hanan Khaira bergandingan dengan Remy Ishak menerusi drama Kekasih Paksa Rela di slot Akasia TV3, Mac tahun lalu.

Selepas setahun, populariti pelakon bernama sebenar Intan Najuwa Abdul Wahid ini terus menyerlah.

Buktinya, dia tidak menang tangan melayan tawaran berlakon daripada penerbit drama.

“Alhamdulillah, ini yang dikatakan rezeki. Saya kini sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Semua Salahku untuk slot Lestary TV3 dan telefilem untuk Hari Ibu dengan RTM. Saya juga baru tamat penggambaran drama bersiri Suamiku Mr Blind untuk Hypp TV dan juga telefilem sempena Aidilfitri untuk RTM.

“Selepas ini saya akan terbabit lagi untuk penggambaran telefilem sempena Aidilfitri untuk RTM dan drama bersiri sempena Ramadan untuk TV3,” katanya.

Intan yang berasal dari Kota Tinggi, Johor juga pernah bergandingan dengan Shukri Yahaya dalam drama bersiri Hantu Punya Bos. Pernah aktif sebagai blogger, dia juga berlakon watak pembantu dalam drama Khabar Dari Casablanca dan Gantung sebelum ‘naik pangkat’ menerusi drama Kekasih Paksa Rela.

“Watak Hanan Khaira memang benar-benar menaikkan nama saya. Impaknya selepas dikenali tentulah rezeki saya dalam lakonan semakin bertambah.

“Sejak awal berlakon, saya memang banyak buat drama bersiri. Begitu juga selepas membintangi drama Kekasih Paksa Rela. Bagaimanapun, saya kini banyak ditawarkan berlakon telefilem dan ia satu benda baru dalam karier saya,” katanya.

KUALA LUMPUR 04 MAC 2019. Pelakon, Intan Najuwa. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN (Untuk Dwan - RAP)
KUALA LUMPUR 04 MAC 2019. Pelakon, Intan Najuwa. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN (Untuk Dwan - RAP)

Menurut Intan, tuahnya untuk watak Hanan Khaira berterusan apabila drama ini tercalon dalam kategori Drama Pilihan di Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL 2019).

Selain itu, Intan turut tercalon dalam kategori Aktres Pilihan dan Pasangan Pilihan.

“Drama Hantu Punya Bos pernah tercalon dalam DFKL sebelum ini, tetapi ketika itu orang belum kenal saya sangat. Kali ini amat berbeza kerana saya tercalon atas kategori individu. Nama dicalonkan pun sudah membanggakan saya,” katanya.

Intan berkata, saingan daripada pelakon kategori itu sangat hebat dan dia tidak kecewa sekiranya gagal meraih kemenangan.

“Saya tak mengharapkan apa-apa sangat. Ada rezeki adalah dan saya takkan kecewa. Bagaimanapun, debaran tetap ada untuk menunggu keputusan yang akan diumumkan nanti. Antara drama yang bersaing ialah Nur dan Jangan Benci Cintaku,” katanya yang dipanggil dengan nama Hanan Khaira oleh peminat.

Tak kisah ambil banyak tawaran sekali gus

Pada awal pembabitannya dalam bidang lakonan, Intan memilih bernaung di bawah pengurusan MIG.

“Ketika itu saya baru berusia 18 tahun dan cuba menghantar profil kepada MIG untuk mencuba nasib. Mereka panggil saya untuk uji bakat dan kemudian berminat menawarkan kontrak.

“Saya seterusnya ditawarkan berlakon dalam drama Hantu Punya Bos. Dari situ, bermulalah kerjaya lakonan saya hingga sekarang,” katanya.

Intan berkata, kontraknya dengan MIG sudah tamat dan dia kini selesa di bawah pengurusan Paranormal pula.

“Kami mengikat perjanjian bersama sejak Disember lalu. Saya perlukan sebuah syarikat pengurusan untuk menguruskan karier. Lagipun, Paranormal sudah dikenali dan dipercayai artis apabila banyak yang memilih mereka.

“WATAK Hanan Khaira memang benar-benar menaikkan nama saya.” -FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
“WATAK Hanan Khaira memang benar-benar menaikkan nama saya.” -FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman

“Saya nampak kami boleh bekerjasama untuk memajukan karier saya,” katanya.

Bagi segelintir pelakon, mungkin mereka lebih fokus menerima hanya satu tawaran berlakon pada satu masa. Bagaimanapun, berbeza buat Intan kerana dia berani mengambil lebih daripada satu tawaran berlakon pada satu masa.

“Saya seorang yang sukakan kerja dan jadual yang padat. Selagi boleh sesuaikan masa, saya pasti akan terima tawaran berlakon.

“Sementara masih muda dan kuat, rasanya saya boleh atasi masalah yang sering dibangkitkan oleh syarikat produksi sebelum ini. Syukur setakat ini saya tak berdepan masalah keliru dari segi rambut, kesinambungan dan jadual. Setakat ini tidak ada syarikat produksi mengeluh mengenai saya,” katanya.

Menurut Intan, selepas bekerja keras di lokasi penggambaran, dia akan memastikan ambil cuti panjang pula untuk berehat.

“Selepas berlakon drama Kekasih Paksa Rela, saya berehat sekejap dan pulang ke Johor untuk bersama keluarga. Lagipun, ayah kurang sihat ketika itu. Agak lama juga barulah saya aktif berlakon semula.

“Sekarang pun sama, saya akan pastikan berehat selama sebulan atau dua bulan dengan pergi bercuti,” katanya.

Tak layan kecaman

Bercakap mengenai persekitaran dan media sosial, Intan mengakui selesa berkawan dengan mereka yang positif daripada golongan bersikap negatif.

“Saya selesa berkawan dengan mereka yang baik dan memahami serta sentiasa menjauhkan diri daripada golongan negatif.

“Jika di Instagram, saya langsung tak melayan komen yang bersikap mengecam. Kalau ada masa, saya memang akan balas setiap komen peminat. Bagi yang keterlaluan atau mengarut memang saya akan biarkan. Saya tak sekat mereka tapi ambil sikap enggan melayan provokasi mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2019 @ 6:30 AM