SYAFFIQ terpaksa tolak dua tawaran drama gara-gara berpenampilan botak.
SYAFFIQ terpaksa tolak dua tawaran drama gara-gara berpenampilan botak.
Najiy Jefri


Gara-gara mengambil keputusan membotakkan kepala, pelakon Syaffiq Sahli reda apabila terpaksa menolak dua tawaran lakonan.

Syaffiq berkata, tindakan membotakkan kepala itu dilakukan bagi menjayakan telefilem Jihad di bawah arahan Md Idris untuk siaran RTM.

"Sebenarnya pengarah tidak sarankan saya untuk botakkan kepala walaupun dalam skrip memang watak saya menuntut untuk saya berpenampilan seperti itu.

"Dia tidak mahu saya botakkan kepala sebab kasihan saya susah untuk teruskan komitmen dengan lakonan drama lain.

"Kalau ikutkan, ada dua naskhah yang saya persetujui untuk berlakon. Satu untuk drama slot Akasia dan satu lagi telefilem. Namun, bila saya teliti betu-betul watak sebagai Jihad ini, memang klimaksnya ialah dia membotakkan kepala.

"Jadi saya ambil keputusan dan anggap ini adalah sebahagian daripada komitmen yang perlu dilakukan. Memang ralat bila terpaksa tolak 'job' lain ini, tapi demi watak Jihad ini saya tahu diri perlu buat pengorbanan ini," katanya.

Menurut pelakon yang popular dengan drama 7 Hari Mencintaiku 2 ini, memandangkan skrip watak terbabit dia membawa watak sebagai pesakit kanser, dia menganggap keputusan membotakkan kepala adalah tepat.

"Dalam telefilem ini, Jihad dipaparkan sebagai seorang pesakit kanser otak, namun menyembunyikan penyakitnya itu daripada pengetahuan bapa angkatnya yang juga pesakit kanser paru-paru.

SYAFFIQ sanggup botakkan kepala demi menjayakan telefilem Jihad untuk siaran RTM.
SYAFFIQ sanggup botakkan kepala demi menjayakan telefilem Jihad untuk siaran RTM.

"Harus saya akui, ini adalah naskhah paling berat yang saya pernah terima sepanjang sembilan tahun bergelar anak seni. Jadi, atas dasar menjiwai watak dan mahu lakonan mampu memberi kesan kepada penonton, saya tak kisah pun untuk membotakkan kepala," katanya.

Menurut Syaffiq, menerusi karya Jihad dia juga sanggup mengamalkan diet sebelum memulakan penggambaran.

"Sebagai pesakit kanser, mestilah badan perlu kelihatan susut. Jadi, saya mula turunkan berat badan dengan mengawal pemakanan. Saya cuma makan sayuran, kekacang dan isi ayam atau ikan.

"Pendek kata, makan dengan cara menjamah sedikit saja untuk rasa. Bukan makan untuk kenyang. Hasilnya berat badan saya susut daripada 60 kilogram (kg) kepada 55 kg.

"Saya jarang dapat naskhah begini. Kalau penyampaian saya tak bagus, rugilah. Usah sia-siakan peluang. Lagipun semasa berada di set penggambaran, seseorang pelakon itu harus cuba memudahkan kerja orang lain juga. Kalau tidak, penatlah kru, pengarah, pelakon lain. Bila naskhah sudah ditayangkan di skrin dan nampak tak menarik, yang kerja belakang tabir ini pun akan rasa kecewa.

"Bagi saya, kalau seseorang pelakon itu dari awal sudah rasa tak boleh bawa satu-satu watak itu, lebih baik jangan ambil. Jangan susahkan orang sekeliling. Satu lagi, baca skrip dulu, baru tanya pasal bayaran. Saya orangnya begitu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Disember 2021 @ 6:17 AM