AHMAD Hakym (dua dari kiri) bersama peminatnya.
AHMAD Hakym (dua dari kiri) bersama peminatnya.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Peminat seni berpeluang melihat hasil karya lakaran bandar menarik daripada pengasas KL Sketch Nation, Ahmad Hakym Ahmad Hilmy di Galeri Serdang, Universiti Putra Malaysia (UPM), bermula Jumaat ini.

Pameran selama sebulan yang berakhir 1 Mei depan itu bakal mempamerkan lukisan hasil karya anak muda itu yang sebelum ini cukup dikenali dalam kalangan penggemar seni lakaran tempatan.

Ketua Projek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina, UPM, Dr Shureen Faris Abdul Shukor berkata, pelbagai karya menarik Ahmad Hakym dalam pelbagai medium, termasuk kenangan berkaitan kegiatan KL Sketch Nation akan dipamerkan pada pameran berkenaan.

“Pengunjung yang hadir juga boleh menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan antaranya bengkel asas lukisan, penulisan dan juga sesi interaktif bersama tetamu jemputan.

“Selain itu, pameran ini juga menampilkan seorang pensyarah jemputan didatangkan khas dari Sekolah Seni Manchester bagi berkongsi tip dan teknik bagi menghasilkan karya lakaran yang lebih menarik,” katanya.

Menurut Shureen lagi, pameran itu adalah aktiviti jaringan masyarakat dalam usaha universiti berkenaan untuk membabitkan pelajar kampus dan juga komuniti luar terutamanya belia melalui aktiviti seni.

Katanya, sekumpulan anak muda yang menggemari aktiviti lakaran bandar itu mendapat inspirasi untuk menubuhkan KL Sketch Nation pada Mac tahun lalu selepas penubuhan Manchester Urban Sketchers di United Kingdom.

“Mereka bermula sebagai kumpulan yang melakukan lakaran yang menghubungkan komuniti di sekitar Kuala Lumpur yang mana akhirnya tersebar luas dan berkembang menjadi sebuah organisasi tanpa keuntungan.

“Mereka membabitkan pelbagai profesion dan sering bersama dalam menghasilkan lakaran di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, bagi yang berminat, pameran berkenaan dibuka setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 8:38 AM