Nor Hanisah Kamaruzaman

Penulis kagum melihat kegigihan anak muda Ahmad Hakym Ahmad Hilmy, 26, menggalakkan orang ramai terutamanya Gen Y untuk lepak dan ‘sketch’.

‘Sketching’ atau lakaran adalah proses asas kepada penghasilan seni dan ia membabitkan perangkaan kepada subjek atau objek dilukis dan tidak membabitkan proses sukar.

Abdul Hakym juga pengasas dan pengarah KL Sketchnation berpendapat, lakaran boleh dilakukan sesiapa saja tanpa latar belakang seni kerana kemahiran melakar bersamaan dengan kemahiran membaca, menulis dan mengira.

“Saya pilih untuk ketengahkan ‘sketching’ sebagai aktiviti yang menghimpunkan komuniti kita. Ia tidak memerlukan kemahiran yang tinggi berbanding melukis atau berkarya.

“Ini kerana lakaran berfungsi untuk merekod dan menjadi salah satu medium untuk berkomunikasi tanpa mengira usia, latar belakang dan bidang peserta,” katanya.

Katanya lagi, aktiviti berkenaan turut menghubungkan serta mendekatkan setiap peserta untuk berkongsi idea dan pendapat selain dapat menggalakkan aktiviti alam nyata atau secara berdepan.

“Sekarang kita dapat lihat terutama bagi generasi muda mereka terlalu mengharap kepada teknologi dan menggunakan teknologi dalam hampir semua perkara.

“Jadi aktiviti sketching dapat membantu dan mendorong orang ramai terutama golongan muda melakukan aktiviti luar dan bertemu serta berkenalan dengan orang ramai secara ‘real’ dan bukannya melalui telefon,” katanya.

Lebih menarik, aktiviti melakar ini memerlukan peserta turun padang dan melakar secara langsung di lokasi pilihan tanpa membataskan apa yang ingin mereka lakarkan.

Ahmad Hakym yang juga pelajar tahun akhir Sarjana dalam Seni Bina di Manchester School of Architecture mendapat inspirasi menubuhkan KL Sketchnation dari komuniti Urban Sketchers (USK) yang berpangkalan di Manchester.

Ahmad Hakym ditemui di Galeri Serdang, Universiti Putra Malaysia (UPM) bersempena Pameran KL Sketchnation yang berlangsung sehingga 1 Mei ini.

Pameran yang terbuka kepada orang ramai itu bukan saja mempamerkan hasil lakaran Ahmad Hakym malahan memberi pengetahuan meluas kepada pengunjung hasil pembentangan kajian pensyarah Fakulti Rekabentuk dan Senibina universiti berkaitan aktiviti ‘sketching’.

Orang ramai dijemput hadir dan masuk adalah percuma dan bagi yang berminat untuk turut serta dalam komuniti serta aktiviti KL Sketchnation, kunjungi akaun Instagram @klsketchnation untuk maklumat lanjut.

INFO

PAMERAN KL SKETCHNATION

- Tarikh: Sehingga 1 Mei 2016

- Lokasi: Galeri Serdang, Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang

- Telefon: 03-8947 1823

- Facebook: KL Sketchnation

- Instagram: @klsketchnation

- Web: www.klsketchnation.com

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 8:49 AM