Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Wanita warga Vietnam dan Indonesia dipercayai terbabit dalam pembunuhan lelaki Korea Utara yang menggunakan identiti Kim Chol didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Kedua-dua warga Vietnam, Doan Thi Huong,29, dan warga Indonesia, Siti Aishah, 25, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Mereka kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Vietnam dan Indonesia secara berasingan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh berikutan kes ini di bawah bidang kuasa ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Harith Sham Mohamed Yasin yang bertindak sebagai Majistret tidak membenarkan mereka dijamin kerana kesalahan termasuk dalam kategori kesalahan yang tidak boleh dijamin dan mereka juga adalah warga asing.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes terbabit dan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, selain untuk serahan dokumen dan laporan kimia.

Pihak pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad.

Sementara, Siti Aishah diwakili Peguam Gooi Soon Seng manakala Thi Huong diwakili peguam S Selvam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Thi Houng dan Siti Aishah didakwa bersama-sama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 34, di Balai Berlepas Lapangan Terbang klia2 Sepang di sini pada 9 pagi, 13 Februari lalu.

Mahkamah mula bersidang pada 10 pagi, dengan Siti Aishah yang memakai kemeja T merah dan jeans biru dibawa masuk ke kandang tertuduh tepat jam 10.03 pagi.

Sementara,Thi Houng yang digari dibawa masuk ke kandang tertuduh jam 10.09 pagi.

Kim Chol yang dipercayai Kim Jong-nam iaitu abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un dibunuh dengan cecair beracun yang dikenal pasti Polis Diraja Malaysia sebagai ‘VX Nerve Agent.’

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 11:33 AM
TERTUDUH dibawa masuk ke Mahkamah Majistret Sepang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor dan Mohd Fadli Hamzah
TERTUDUH dibawa masuk ke Mahkamah Majistret Sepang. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor dan Mohd Fadli Hamzah