SITI Aisyah (tengah) keluar dari mahkamah setelah dilepas tanpa dibebaskan atas tuduhan membunuh Kim Jong-nam. FOTO Sairien Nafis
SITI Aisyah (tengah) keluar dari mahkamah setelah dilepas tanpa dibebaskan atas tuduhan membunuh Kim Jong-nam. FOTO Sairien Nafis
Sarah Zulkifli


Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini melepas tanpa membebaskan tertuduh pertama warga Indonesia, Siti Aisyah, 26, daripada pertuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam.

Hakim Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, memberitahu mahkamah pihak pendakwaan menerima arahan untuk menarik semula pertuduhan terhadap Siti Aisyah mengikut Seksyen 254(1) Kanun Acara Jenayah.

Azmi dalam penghakimannya berkata, dalam kes ini, pihak pendakwaan berhasrat untuk menarik balik pertuduhan terhadap Siti Aisyah.

“Dengan ini, Siti Aisyah dilepaskan tetapi tidak terjumlah kepada pembebasan," katanya.

Sementara itu selepas tamat prosiding, peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah berkata, anak guamnya gembira dengan keputusan mahkamah yang melepaskan tanpa membebaskannya daripada pertuduhan ini.

“Dia juga menangis kegembiraan dengan keputusan mahkamah dan sesiapapun akan sepertinya selepas kira-kira dua tahun berada di penjara,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Mengikut pertuduhan, Siti Aisyah dan warga Vietnam, Doan Thi Huong didakwa membunuh Kim Chol bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) Sepang kira-kira jam 9 pagi, 13 Februari 2017.

Kedua-dua wanita itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Prosiding pembelaan terhadap Doan sedang berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 10:49 AM