HODAK diarah menjawab surat tunjuk sebab oleh FAM atas kritikan dilemparkan mengenai sistem pembangunan bola sepak negara.
HODAK diarah menjawab surat tunjuk sebab oleh FAM atas kritikan dilemparkan mengenai sistem pembangunan bola sepak negara.
Syazwan Msar


“SAYA hanya katakan perkara yang benar walaupun sukar diterima oleh sesetengah pihak.” Itu penjelasan jurulatih skuad bawah 18 tahun (B-18) negara, Bojan Hodak berhubung kritikannya mengenai sistem pembangunan bola sepak negara.

Akibat kata-katanya yang pedas itu, beliau diarah menjawab surat tunjuk sebab oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Hodak bagaimanapun mempertahankan kenyataannya dan menegaskan sistem pembangunan bola sepak merangkumi umur 12 hingga 17 tahun di negara ini salah kerana tiada kelab yang akan mengambil mereka untuk menjalani latihan lebih lengkap dan sistematik.

Disebabkan itu, pemain yang berbakat seolah-olah hilang arah tanpa ada pihak yang membimbing mereka secara lebih baik.

“Apa yang saya katakan sebelum ini adalah sistem bola sepak negara yang salah. Saya tidak tahu apa yang Datuk Yusoff (Mahadi) katakan dan saya tidak mahu ambil kisah tentang perkara itu.

“Saya mengetahui dan sedar apa yang saya perkatakan kerana jika sistem pembangunan bola sepak itu betul, sudah tentu Malaysia sekarang ini bermain di Piala Dunia,” katanya.

Bojan mengeluarkan kenyataan yang dianggap kritikan itu selepas skuad kendaliannya tewas dalam tiga aksi pembukaan Piala Sanix di Fukuoka, Jepun.

Kenyataannya itu mendapat reaksi balas Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi yang tampil membidas dengan mengatakan Bojan tidak sepatutnya mengeluarkan alasan sedemikian rupa bagi menutup kesalahannya di kejohanan berkenaan.

Sementara itu, Bojan juga meminta Yusoff menghubunginya jika mahu penjelasan lebih lanjut berkaitan kenyataan terbabit.

“Datuk Yusoff ada nombor saya dan boleh hubungi saya bila-bila masa saja jika mahukan penjelasan. Saya tidak tahu mengapa beliau boleh berikan kenyataan sebegitu sedangkan beliau tidak memahami apa yang saya perkatakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 6:30 AM