Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika Kuala Lumpur City FC berjaya bergelar juara Piala Malaysia edisi ke 100, sudah tentu pemain veteran pasukan itu Shukor Adan antara individu paling gembira dan bertuah.

Ini kerana, pemain berusia 42 tahun itu mengumumkan persaraannya dalam kancah bola sepak profesional sebaik tamat final Piala Malaysia 2021.

Pemain yang pernah menyarung jersi Negeri Sembilan, Selangor, Felda United dan Melaka itu berkata, sepanjang kariernya dalam arena bola sepak tanah air, pasukan Kuala Lumpur antara yang terbaik pernah diwakilinya.

Walaupun musim ini Kuala Lumpur bermula dengan agak perlahan namun berjaya menempah tiket final Piala Malaysia untuk kali keempat sekali gus bakal berentap bersama juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT).

SHUKOR bersama Kapten JDT, Farizal Marlias selepas sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Turut kelihatan ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora dan ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak. FOTO Azhar Ramli
SHUKOR bersama Kapten JDT, Farizal Marlias selepas sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Turut kelihatan ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora dan ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak. FOTO Azhar Ramli

"Kuala Lumpur adalah pasukan yang terbaik kerana siapa sangka pada awal saingan liga kurang bernasib baik namun akhirnya mampu beraksi di pentas final Piala Malaysia.

"Dalam umur 42 tahun ini tak sangka dapat ke final walaupun kurang minit perlawanan namun jurulatih (Bojan Hodak) tetap beri kepercayaan kepada saya. Di usia sekarang adalah pencapaian terbaik dan sudah berkecimpung dalam bola sepak tempatan hampir 24 tahun," katanya pada sidang media praperlawanan akhir Piala Malaysia 2021 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Shukor yang juga bekas pemain Harimau Malaya sudah menjulang empat kejuaraan Piala Malaysia iaitu dua bersama Selangor dan dua bersama Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 5:22 PM