Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.  FOTO Ihsan FB
Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. FOTO Ihsan FB
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jangan merosakkan bola sepak negara. Itu nasihat pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada ahli politik yang mahu bertanding merebut jawatan penting pada pemilihan Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Ke-57 kelak.

Menerusi ruangan 'Tanya saya soalan' di laman Instagram miliknya, beliau menasihatkan supaya ahli politik tidak berbuat demikian bagi mengelak merencatkan pembangunan bola sepak negara.

"Dah merosakkan negara jangan sibuk nak merosakkan bola sepak," katanya, ketika menjawab pertanyaan berkaitan ahli politik yang akan bertanding pada pemilihan Kongres FAM ke-57.

Sebelum ini, terdapat desas-desus kemungkinan beberapa calon ahli politik dijangka turut memanaskan pemilihan Kongres FAM yang dijadualkan berlangsung pada 13 Mac depan.

Walaupun tiada sebarang pengumuman rasmi daripada individu berkenaan, ketika ini terdapat khabar angin yang mengaitkan nama tokoh tertentu untuk merebut jawatan penting di Wisma FAM.

Ketika ini tiada halangan bagi siapa sahaja yang mahu bertanding pada pemilihan Kongres FAM termasuk ahli politik.

Namun, sebelum seseorang calon itu diterima untuk bertanding, individu berkenaan perlulah 'bersih' dan tidak pernah didakwa di mana-mana mahkamah atas apa jua kesalahan jenayah.

Malah, tokoh yang dicalonkan juga wajib bebas daripada masalah kebankrapan sekiranya berhasrat untuk merebut salah satu daripada 17 kerusi dipertandingkan nanti.

Sejak borang pencalonan dibuka pada 13 Januari lalu, hanya dua calon iaitu Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan timbalannya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang mengumumkan pendirian untuk mempertahankan kerusi masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 6:35 AM