LAN solo selesa bergerak sendirian. FOTO/NSTP
LAN solo selesa bergerak sendirian. FOTO/NSTP
Ardini Sophia Sina


Setahun bergerak secara solo, penyanyi yang kini lebih dikenali dengan nama Lan Solo tidak pernah sekali pun menyesali keputusannya meninggalkan kumpulan Kristal tahun lalu.

Malahan, impian yang pernah tersemat di jiwa tetap diteruskan seperti yang sudah dirancang. Bakal mengadakan showcase Lan Solo Next Level (LSNL) pada 2 Mac 2019, Lan mengakui teruja dan berdebar menantikan detik itu.

Lebih menggembirakan Lan apabila showcase itu umpama perjumpaan semula semua bekas anggota Kristal kerana Ainol, Ejal, Ezan, Joe dan Amai akan bergabung dengannya dalam acara itu nanti.

Dua dekad dalam industri, Lan mengimpikan satu persembahan yang akan menjadi tanda aras dalam kerjanya apatah lagi dia kini sudah bergerak sendiri.

“Showcase itu adalah terjemahan kembara seni saya. Lebih menggembirakan, ketika showcase itu nanti saya akan bergabung semula dengan semua bekas anggota Kristal yang suatu ketika dulu pernah memajukan kumpulan itu bersama-sama.

“Ainol dan Amai akan terbabit secara menyeluruh kerana mereka masih aktif dalam bidang muzik manakala Joe, Ejal dan Ezan akan tampil dalam satu segmen khas.

“Idea itu tercetus apabila ramai peminat yang menyuarakan rasa rindu ingin melihat bekas anggota Kristal kembali beraksi. Saya tidak mahu mengecewakan mereka dan harapnya semua gembira apabila bekas anggota Kristal muncul dalam persembahan itu nanti,” katanya.

Lan berharap showcase yang bakal diadakan itu dapat membuka mata banyak pihak terhadap kemampuan sebenar dirinya. Tambahan pula, acara itu bukan atas dasar hiburan semata-mata sebaliknya sebahagian daripada hasil jualan tiket akan didermakan kepada Persatuan Klef, Bibir dan Lelangit Malaysia (Clapam).

Diadakan di Matic, Kuala Lumpur, Lan mengalu-alukan mana-mana syarikat yang berminat menaja bagi melancarkan lagi perjalanan showcase itu nanti.

Buat masa ini, Lan sudah menyenaraikan 20 buah lagu yang mungkin didendangkan pada hari itu. Bagaimanapun, ia masih dalam proses pemilihan bagi memastikan hanya yang terbaik diperdengarkan kepada penonton.

Pastinya antara lagu yang bakal mewarnai pentas itu ialah Seragam Hitam, Delaila, Luahan Hati, Resam Pak Belalang termasuklah dua single solo iaitu Berpisah Tanpa Rela dan Twist Abang Sayang.

Lan berharap tidak timbul sebarang masalah untuk dia menyanyikan lagu hit Kristal. Baginya, kesemua lagu berkenaan adalah sejarahnya dan menjadi katalog senarai lagu untuk dibawakan setiap kali memenuhi jemputan.

“Saya rasa tidak ada masalah pun untuk nyanyikan lagu Kristal. Itu adalah sejarah saya dan pergi mana-mana acara pun orang akan minta saya nyanyikan lagu berkenaan.

“Saya rasa kita patut lihat dari sudut positif dan rezeki setiap kita sudah tertulis. Kami tidak saling mengkritik malahan masing-masing saling menguatkan agar dapat meneruskan karier.

“Saya mengaku rindu dan lebih selesa bergerak dengan kumpulan. Saya membesar dengan kumpulan namun apabila putuskan untuk bergerak sendiri, maka itu apa yang perlu saya lakukan sekarang,” katanya.

Lan juga yakin tidak ada kekeliruan yang timbul antara peminat kerana masing-masing punya identiti tersendiri. Bahkan, Lan percaya peminat semakin bijak menilai apa yang mereka inginkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Disember 2018 @ 6:00 AM