Lan Solo
Lan Solo
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Tidak ada isu membabitkan penyanyi, Lan Solo, 39, dengan bekas kumpulannya, Kristal apabila dia tampil dengan kumpulan baru, Kristal X sejak 2020.

Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof berkata, mereka sama-sama mencari rezeki dalam industri muzik di sini dan paling penting tunjukkan hasil kerja yang terbaik.

"Industri muzik kita kecil saja. Pasti berjumpa di mana-mana. Penggunaan nama Kristal setakat ini tiada isu. Kalau ada mungkin saya biarkan saja.

"Bagi saya, untuk perkara sebegini, kematangan dalam industri muzik itu sangat diperlukan. Konsep 'cari makan' itu sudah menjadi pekerjaan kita.

"Saya fikir tidak perlu kisah mengenai perkara ini dan bekerja saja. Kita bersaing secara sihat," katanya pada sidang media Konsert Merah Hitam gandingan Kristal X dan Def Gab C di sebuah hotel di sini.

Dalam masa sama, Lan turut memaklumkan hubungannya dengan anggota Kristal tidak seakrab dulu.

Bagaimanapun, mereka tidak bergaduh dan masih bertegur sapa sekiranya berjumpa di mana-mana.

"Kali terakhir berjumpa kami okay dan akan bertegur sapa. Tapi tidaklah hendak kata akrab seperti dulu. Kalau jumpa orang, kita tahu sama ada boleh duduk berkumpul sekali atau tidak, jadi saya tak rasa 'vibe' itu lagi.

"Tak tahulah, kita hanya merancang. Saya hendak cari perkara yang baik saja dengan berkarya, bekerja dan menyara anak isteri termasuk meneruskan perjuangan," katanya.

Lan menjelaskan, penggunaan Kristal X sejak 2020 yang turut dianggotai bekas pemain dram Kristal, Ainol, Napie (gitar), Amai (bass) dan Ayop (keyboard) diputuskan selepas membuat tinjauan pendapat ramai.

"Sebenarnya cuba guna nama berbeza tapi bila buat 'survey' dalam talian, Kristal X mendapat undian terbanyak. Penubuhannya juga adalah berniat membantu ekonomi kawan-kawan.

"Saya tidak mahu senang bersendirian. Semua yang masih bersama memang cari makan dalam muzik. Jadi, ini mungkin salah satu manfaat yang saya boleh kongsi dengan anggota lain.

"Sebelum ini, ketika bergerak sendiri, keselesaannya dapat dirasa. Tetapi, 'vibe' dan kepuasan bersama band berbeza," katanya yang membuat keputusan berundur dari Kristal pada 2017.

Konsert Merah Hitam dibawakan Shoreline Space bakal berlangsung pada 31 Ogos ini di Zepp Kuala Lumpur. Konsert itu menampilkan suntikan artistik tersendiri daripada segi tema, gubahan lagu dan kreativiti persembahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2024 @ 10:42 AM