AHMAD Aqil Akbar Zaid hilang selepas bermain basikal di kawasan rumahnya, hari ini. FOTO Ihsan keluarga
AHMAD Aqil Akbar Zaid hilang selepas bermain basikal di kawasan rumahnya, hari ini. FOTO Ihsan keluarga
Jalal Ali Abdul Rahim


“BASIKAL anak saya ditemui di tepi jalan, tetapi anak saya tiada. Saya dimaklumkan ada saksi yang melihat dua lelaki menaiki motosikal mengejar anak saya hingga depan rumah sebelum mereka melarikannya.”

Demikian kata bapa kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang dipercayai ketika menaiki basikal berdekatan rumahnya di Persiaran 5/2, Bandar Baru Putra, dekat Ipoh, hari ini.

Ahmad Aqil Akbar Zaid yang juga murid Sekolah Agama Al Hidayah di Ampang, dekat sini, dikatakan keluar berbasikal selepas ibunya keluar rumah menghantar motosikal yang rosak untuk diperbaiki di bengkel berdekatan pada 8 pagi tadi.

Bapa kanak-kanak itu, Zaid Mohamed Hashim, 38, berkata, kejadian itu disedari isterinya, Ainun Zaharah Ismail, 36, ketika pulang ke rumah selepas menghantar motosikal untuk diperbaiki.

“Isteri saya tiba di rumah pada 8.20 pagi dan mendapati anak saya itu tiada di rumah menyebabkan isteri saya terus keluar mencarinya di kawasan berdekatan.

“Dengan bantuan beberapa penduduk taman akhirnya mereka menemui basikal anak saya di tepi jalan di kawasan berdekatan namun tidak menemui anak saya.

“Saya yang bekerja di Bercham segera pulang ke tempat penemuan basikal itu dan kemudian terus membuat laporan polis,” katanya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 9.30 pagi, hari ini.

Zaid berkata, anaknya itu tidak ke sekolah pagi tadi disebabkan motosikal digunakan ibunya itu rosak dan tidak dapat menghantarnya.

Katanya, sehingga 12.30 tengah hari anaknya belum ditemui dan usaha mencarinya dilakukan dengan bantuan penduduk.

Katanya, dia berharap anaknya ditemui dalam keadaan selamat.

Difahamkan, beberapa pegawai dan anggota polis turut berada di rumah keluarga berkenaan bagi menyiasat kes itu dan mengesan kanak-kanak berkenaan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman, mengesahkan polis menerima laporan kes itu.

"Kita sedang siasat di lokasi dan temuduga saksi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melarikan kanak-kanak dari penjaga yang sah.

"Polis juga akan menyiasat jika ada isu keluarga dan semua kemungkinan yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 1:48 PM