Zahratulhayat Mat Arif dan Balqis Jazimah Zahari

“DIA merajuk dengan mak dia.” Itu punca sebenar Ahmad Aqil Akbar Zaid, 10, melarikan diri dari rumah ibu bapa di Persiaran 5/2, Bandar Baru Putra, dekat Ipoh, pagi tadi.

Kanak-kanak itu kemudian ditemui oleh orang awam di Taman Harmoni, Kuala Kangsar, petang tadi.

Kehilangan pelajar Sekolah Rendah Agama Al Hidayah, Ampang, di Ipoh, itu menjadi perhatian selepas cerita kehilangannya termasuk kononnya dia dilarikan dua lelaki tular di media sosial.

Bagaimanapun bapanya, Zaid Mohamed Hashim, 38, mendedahkan punca sebenar tindakan anaknya itu kerana merajuk dengan ibunya, Ainun Zaharah Ismail, 36.

Zaid ditemui selepas polis mengambil kenyataan Ahmad Aqil Akbar selama satu jam di Balai Polis Daerah (IPD) Ipoh, petang tadi.

Dia bagaimanapun enggan mengulas lanjut kejadian itu.

Terdahulu, Ahmad Aqil Akbar dibawa dari IPD Kuala Kangsar dan tiba di IPD Ipoh kira-kira jam 4 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu keluar sendiri dari rumah dengan membawa pakaiannya.

“Kita akan menjalankan siasatan lanjut kes ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Zaid ketika ditemui di rumahnya berkata, dia dihubungi oleh seorang wanita pada jam 2 petang yang mengaku menemui kanak-kanak lelaki menyerupai anaknya itu di sebuah kawasan perumahan di Kuala Kangsar.

“Wanita itu menghubungi saya bertanyakan sama ada saya ada kehilangan anak.

“Dia kemudian mengirim gambar kanak-kanak berkenaan dan apabila melihatnya, saya pasti itu anak saya," katanya.

Zaid berkata, wanita itu memaklumkan dia membuat panggilan sebaik berita kehilangan Ahmad Aqil Akbar menjadi viral di media sosial.

“Wanita itu memaklumkan dia menempatkan anak saya di rumah jiran berdekatan dan menghubungi saya untuk mendapatkan kepastian.

“Pihak polis juga ke lokasi kejadian untuk mengesahkan maklumat," katanya.

Menurutnya, dia dan isteri lega dan bersyukur anak mereka sudah ditemui.

“Dari tadi saya memang sudah tidak dapat berfikir kerana terlalu bimbang anak saya hilang.

“Dialah satu-satunya anak kami dan hati saya lega bila anak saya ditemui," katanya.

Zaid mengucapkan terima kasih kepada penduduk dan orang ramai yang menyebarkan berita kehilangan itu di media sosial sehingga anaknya berjaya ditemui.

Berita berkaitan

'Tolong cari anak saya'

[UPDATE] Alhamdulillah, dah jumpa Ahmad Aqil...

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 6:44 PM