MUHAMMAD Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Seri Putra, Kajang, semalam. FOTO Ihsan keluarga
MUHAMMAD Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Seri Putra, Kajang, semalam. FOTO Ihsan keluarga
Nurul Hidayah Bahaudin


KANAK-KANAK lelaki dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Seri Putra, di Kajang, semalam.

Mangsa, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, dikatakan keluar dari rumahnya kira-kira 8 pagi, semalam, untuk bermain.

Menurut ibu mangsa, Sainih Sunding, 46, anak bongsu daripada lima beradik itu tidak bersekolah semalam, dan keluar bermain bersama rakannya.

Katanya, dia menyedari kehilangan anaknya itu apabila tidak melihat kelibatnya di rumah sebaik pulang dari tempat kerja kira-kira 7 malam.

“Saya bertanya kepada anak ketiga saya mengenai anak bongsu yang mesra dengan panggilan Zahir, namun dia memaklumkan adiknya bermain dengan rakan di sekitar rumah sebelum saya mengarahkan dia memanggil adiknya pulang (ke rumah).

“Bagaimanapun, Zahir didapati tiada di lokasi berkenaan menyebabkan saya mencarinya di sekitar kawasan kejiranan ini. Ada jiran memaklumkan melihat Zahir pergi ke kedai berhampiran tengah hari semalam.

“Di sebelah petang pula, ada jiran melihat Zahir bermain dengan rakan di sekitar kawasan kejiranan ini dan itu adalah kali terakhir Zahir dilihat,” katanya ketika dihubungi, di Kajang, hari ini.

Sainih yang juga bekerja sebagai pencuci berkata, laporan berhubung kehilangan anaknya itu dibuat di Balai Polis Bandar Seri Putra, di sini, malam tadi.

“Saya sudah mencarinya di lokasi sekitar Bandar Seri Putra, namun masih belum menemuinya. Kali terakhir dia dilihat memakai baju kemeja T berwarna hitam dan seluar panjang berwarna biru.

“Saya amat bimbang dengan keselamatan Zahir kerana dia tidak pernah berbuat demikian (tidak pulang ke rumah),” katanya.

Kehilangan kanak-kanak itu turut dihebahkan melalui Nur Alert, hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung Mohd Zahiruddin diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 10:55 AM