MIDNIGHT Fusic mula mengorak langkah di luar negara. FOTO Ihsan Sony Music Malaysia
MIDNIGHT Fusic mula mengorak langkah di luar negara. FOTO Ihsan Sony Music Malaysia
Georgie Joseph

Apabila ditubuhkan pada 2013, band Midnight Fusic yang dianggotai empat anak jati Kuala Lumpur berharap dapat terbang tinggi seperti pemuzik lain.

Arif Kamarudin selaku vokalis, Adrian Danial (gitar utama), Firdaus Azmi (gitar bes) dan Muaz Rabbani (dram) tidak mengharapkan keajaiban, sebaliknya terus fokus dengan agenda utama.

Mereka mahu tampil dengan lagu Inggeris terbaik. Terlalu awal untuk Midnight Fusic memasang angan-angan beraksi di pentas antarabangsa, namun ternyata tuah menyebelahi mereka.

Tahun ini, mereka diundang menjayakan beberapa festival muzik dalam dan luar negara termasuklah We The Fest di Jakarta, Indonesia. Acara itu turut menampilkan nama besar seperti Miguel, James Bay, Lorde, SZA, The Neighbourhood dan ramai lagi.

Berkongsi pengalaman itu, Arif berkata, mereka seakan-akan bermimpi. Mana tidaknya, selain berkongsi pentas dengan ramai penyanyi hebat, mereka terkejut apabila punya ramai peminat.

“Kami seronok sepanjang berada di sana terutama apabila beraksi di atas pentas. Tak sangka peminat menantikan kemunculan kami.

“Paling tersentuh, melihat sokongan peminat. Sambutan yang diberikan memang luar biasa, malah mereka menari mendengar lagu kami.

“Sampai sekarang masih rasa seperti mimpi dan pengalaman itu sangat berharga buat kami,” katanya.

Dalam acara itu, mereka juga berkesempatan bertemu dan merakam gambar kenangan dengan penyanyi Miguel serta band The Neighbourhood.

“Kami sempat berbual dengan band itu mengenai bagaimana karier muzik kami bermula. Manakala dengan Miguel pula, kami bertemu ketika dia berada di bilik menunggu,” katanya.

Usai festival itu, Midnight Fusic melakar kenangan manis di Singapura apabila diundang menjayakan persembahan di acara Bay Beat yang berlangsung semalam dan hari ini.

Mengakui sangat teruja, Arif berkata, misi mereka adalah mahu meninggalkan impak besar di negara jiran itu.

“Apabila dapat tahu akan beraksi di Kota Singa, kami memang tidak sabar. Ini adalah persembahan pertama kami di negara itu.

Percaya kerja keras

“Kami difahamkan ramai pengikut Midnight Fusic di sana bahkan ada yang turut menghadiri festival di Jakarta baru-baru ini,” katanya.

Meraih kegembiraan berganda apabila mereka dipilih menjadi antara penghibur utama festival Urbanscapes 2018 pada November nanti.

Festival itu turut membariskan penyanyi rap dari Amerika Syarikat (AS), Khalid, Wolf Alice, Bodega, Se So Neon, Phum Viphurit dan Bil Musa.

Menyifatkan ia ibarat bulan jatuh ke riba, band itu bersyukur dan berbesar hati dengan pencapaian mereka setakat ini.

MAHU terus hasilkan karya berkualiti. FOTO Ihsan Sony Music Malaysia
MAHU terus hasilkan karya berkualiti. FOTO Ihsan Sony Music Malaysia

“Bercakap mengenai Urbanscapes, ia pencapaian yang sangat sentimental kerana dulu kami cuma mampu simpan angan-angan dan tak sangka ia jadi kenyataan.

“Syukur, apa yang kami usahakan selama ini sangat berbaloi. Kami harap pencapaian ini akan membuka lebih peluang untuk beraksi di acara berprestij lain termasuk Laneway Festival di Singapura dan Good Vibes Festival,” katanya.

Menjadi antara band yang menjadi bualan hangat masa kini, Arif tidak menafikan ada rasa tekanan apabila ramai meletakkan harapan tinggi terhadap mereka.

Bagaimanapun, dia dan rakan-rakannya percaya kerja keras bakal membuatkan hasil membanggakan.

“Kami tidak mahu terlalu memikirkan soal ini sebaliknya fokus untuk buat yang terbaik.

“Kami akan terus berusaha menghasilkan karya yang bagus dari semasa ke semasa,” katanya.

Midnight Fusic mula mendapat perhatian tahun lalu selepas melancarkan lagu Heart of May di bawah label Sony Music Malaysia.

Awal tahun ini, band itu menjadi artis pertama dari Malaysia dan Singapura dipilih dalam program Deezer Next 2018 anjuran syarikat penstriman Deezer yang berpangkalan di Paris, Perancis.

Band itu juga berjaya mencuri perhatian Noh Salleh dan Faizal Tahir yang memuji kehebatan single mereka berjudul Lovesick.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 4:21 AM