YUNA bangga diangkat sebagai artis antarabangsa. FOTO: Good Vibes
YUNA bangga diangkat sebagai artis antarabangsa. FOTO: Good Vibes
Georgie Joseph


PESTA muzikal Good Vibes Festival 2019 (GVF2019) yang berlangsung selama dua hari di The Ranch, Gohtong Jaya, Genting Highlands hujung minggu lalu sememangnya dinanti setiap tahun.

Konsert yang berlangsung Sabtu dan Ahad lalu itu mendapat sambutan luar biasa apabila dihadiri lebih 20,000 penonton berbanding 15,000 tahun lalu.

Bukan saja pengunjung tempatan, peminat dari luar negara turut hadir memeriahkan acara berkenaan. Seperti tahun lalu, GVF2019 berlangsung lancar tanpa gangguan cuaca seperti hujan lebat, sekali gus tapak acara menjadi lebih selesa dan tidak membataskan pergerakan pengunjung.

Bagaimanapun, tarikan sebenar pesta itu sudah semestinya barisan penghibur yang menjayakan persembahan kali ini. Menghimpunkan penyanyi terkenal tempatan dan antarabangsa, terbukti pilihan penganjur tidak pernah salah.

Yuna dan barisan penyanyi antarabangsa seperti Daniel Ceaser, Dean, Russ, Nothing But Thieves, Joji dan Sabrina Claudio tarikan utama kehadiran penonton tahun ini bertambah.

Rata-ratanya memiliki tarikan kuat selain kepelbagaian corak muzik menjadikan festival itu lebih hidup.

Begitu juga dengan artis tempatan seperti SonaOne, Kugiran Masdo dan Midnight Fusic. Mereka benar-benar memberikan persembahan hebat dan berbeza daripada kebiasaan.

Semestinya penampilan Yuna turut dinantikan ramai sebagai antara penyanyi utama dalam festival berkenaan. Penyanyi kebanggaan Malaysia yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) itu juga jelas sangat teruja.

Menurutnya, dia memang sudah lama mengimpikan untuk beraksi pada acara berkenaan. Selama ini, dia mengakui menghadirinya untuk memberi sokongan kepada rakan artis lain.

SONAONE dan Joji.
SONAONE dan Joji.

Jadi, kali ini Yuna tidak mahu melepaskan peluang malah sanggup mengosongkan jadual walaupun sibuk di AS.

“Sudah lama saya nantikan peluang untuk membuat persembahan di GVF tetapi masa kerap tidak mengizinkan. Saya sangat gembira dan kebetulan album juga baru keluar. Memang sangat tepat masanya untuk saya beraksi di sini dengan tampilkan konsep terbaharu persembahan saya,” katanya.

Yuna berkata, walaupun sibuk dengan konsert jelajah, dia tetap mencuri masa memenuhi jemputan GVF2019.

“Saya tidak kisah terpaksa pulang ke sini semata-mata untuk GVF. Lagipun, saya sangat berbesar hati apabila dibawa sebagai artis antarabangsa untuk acara ini.

“Penghargaan ini sangat bermakna sebenarnya untuk saya. Ia membuktikan usaha keras saya mencipta nama di luar diiktiraf penganjur,” katanya.

Yuna tampil membuat persembahan sebagai artis penutup pada hari kedua. Walaupun membuat persembahan selepas Daniel Ceaser, penonton tetap tidak berganjak kerana mahu menonton persembahannya.

Yuna membawakan lagu daripada album terbaharunya, Rogue seperti Likes, Forevermore, Blank Marquee dan Castaway.

Ini termasuk lagu popularnya seperti Dan Sebenarnya, Lullabies dan Crush.

PENYANYI TEMPATAN, ANTARABANGSA SAMA TARAF

Persembahan artis antarabangsa seperti Daniel Ceaser, Dean, Russ, Nothing But Thieves, Joji dan Sabrina Claudio juga cukup bertenaga.

Joji yang membuat persembahan pada hari pertama membuktikan peminatnya cukup ramai di sini. Malah, rata-rata yang hadir pada hari pertama festival itu adalah kerana ingin menonton persembahannya.

Penyanyi keturunan Amerika-Jepun itu tidak mengecewakan dengan persembahan bersahaja tetapi cukup menghiburkan.

Begitu juga dengan artis tempatan seperti SonaOne, Kugiran Masdo dan Midnight Fusic.

SonaOne yang turut membawa rakan karibnya, Alif ke pentas berjaya membawa aura antarabangsa. Sepanjang persembahan mereka, penonton tidak putus menyanyi dan menari.

Secara keseluruhannya, GVF2019 membawa dimensi berbeza daripada segi penganjuran. Set tahun ini lebih megah dengan penyertaan banyak penaja besar yang turut menawarkan banyak aktiviti menarik.

Kehadiran lebih ramai pengunjung kali ini turut membuktikan jenama festival itu semakin mendapat perhatian dari serata Asia Tenggara walaupun berlangsung serentak dengan festival muzik We The Fest di Jakarta, Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 5:00 AM