Muhaamad Hafis Nawawi

Rantau Panjang: Jika mahu beli, hanya lambai atau hubungi melalui telefon bimbit dan tidak lama kemudian pil kuda akan sampai ke tangan.

Itu senario yang berlaku di Kelantan apabila penjualan pil kuda yang dihasilkan di Segi Tiga Emas persempadanan Thailand, Myanmar dan Laos menunjukkan peningkatan mendadak sejak beberapa tahun ini.

Malah, ada dalam kalangan tokan pil kuda terdiri golongan belia seawal usia 20-an termasuk remaja yang menjual secara kecil-kecilan.

Menurut sumber, lebih membimbangkan pil kuda yang turut dipanggil dengan pelbagai nama seperti 'ya ba' (pil gila), 'ya maa' (pil kuda) atau 'ya khayan' (pil kerja keras) dalam bahasa Siam seakan menjadi barah dalam golongan remaja dan belia di negeri pantai timur itu.

"Ia sangat mudah diperoleh berikutan Kelantan bersempadanan dengan Thailand menyebabkan bekalan itu mudah diseludup masuk sehingga mampu dibeli remaja yang masih bersekolah serendah RM10.

"Malah, pengedar pil kuda itu boleh dikatakan berada di mana-mana dan sedia menjual setiap masa jika ada remaja atau belia yang ingin mendapat bekalan," katanya.

SEMPADAN Kelantan-Selatan Thai yang hanya dipisahkan Sungai Golok memudahkan kegiatan tokan dadah menyeludup barang terlarang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
SEMPADAN Kelantan-Selatan Thai yang hanya dipisahkan Sungai Golok memudahkan kegiatan tokan dadah menyeludup barang terlarang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Sumber berkata, lebih teruk ada sebuah keluarga terdiri daripada bapa, abang, adik dan saudara mara yang tinggal serumah turut menagih dadah pil kuda.

"Faktor bekalan mudah diperoleh dengan harganya yang terlalu murah menyebabkan negeri pantai timur seperti Kelantan merekodkan jumlah tertinggi menagih pil kuda.

"Hanya perlu menggunakan isyarat melambai kepada orang kampung yang turut menagih pil kuda yang lalu di depan rumah mereka dan mesej itu segera disampaikan kepada tokan sebelum tidak lama kemudian ia (pil kuda) tiba di pintu rumah," katanya.

Sumber itu berkata, malah dengan hanya satu panggilan telefon dan menetapkan tempat pertemuan, dalam masa beberapa minit bertemu di tepi jalan sudah dapat membeli pil kuda.

SUNGAI Golok yang memisahkan Kelantan dan Selatan Thailand. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
SUNGAI Golok yang memisahkan Kelantan dan Selatan Thailand. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Ini dibuktikan dengan pendedahan sendiri penagih pil kuda yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Rantau Panjang apabila dia mengakui hanya perlu menelefon tokan dadah untuk mendapatkan pil itu.

Lelaki berasal dari Tumpat berusia 34 tahun itu berkata, dia sudah menagih pil kuda sejak berusia 13 tahun dan mengakui bekalan sangat mudah diperoleh.

"Hanya dengan RM30, saya akan dapat lima biji pil kuda. Saya hanya menunggu tokan dadah di tepi jalan," katanya yang ditahan AADK dalam sekatan jalan raya.

Seorang lagi penagih pil kuda berusia 31 tahun mengaku sudah lama mengambil pil kuda sejak remaja kerana bekalan mudah didapati serta murah.

ANGGOTA AADK mengedarkan risalah bahaya dadah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ANGGOTA AADK mengedarkan risalah bahaya dadah. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR


Angka penagih naik mendadak

Rantau Panjang: Jumlah penagih pil kuda di Kelantan agak membimbangkan apabila menunjukkan peningkatan mendadak dengan merekodkan 9,333 tangkapan setakat Mac lalu.

Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Azmi Mustafa berkata, angka itu menunjukkan peningkatan kerana sepanjang tahun lalu jumlah tangkapan direkodkan ialah sebanyak 10,185 sedangkan pada suku pertama tahun ini sudah mencecah 9,333 tangkapan.

Menurutnya, Terengganu pula merekodkan 7,945 tangkapan manakala Pahang sebanyak 5,071 tangkapan bagi tempoh suku pertama tahun ini.

"Kita dapati negeri pantai timur termasuk Kelantan adalah penyumbang kepada 33 peratus kemasukan dadah.

"Senario ini juga menunjukkan hasil kerjasama AADK dengan pihak polis dalam melakukan tangkapan membabitkan pil kuda," katanya secara eksklusif kepada Harian Metro ketika membuat tinjauan di Unit Antidadah Sempadan (UAS) di Rantau Panjang.

Azmi berkata, apa yang membimbangkan pil kuda menjadi trend kepada golongan remaja dan belia.

"Faktornya kerana pantai timur bersempadanan dengan Thailand menyebabkan bekalan itu mudah diperoleh.

"Satu lagi kuasa beli kerana dengan hanya RM10, mereka sudah dapat membeli pil kuda berbanding dulu harganya mahal," katanya.

EMPAT lelaki yang disyaki penagih pil kuda ditahan dalam operasi di Chabang Empat Salam ketika  tinjauan di Unit Antidadah Sempadan (UAS) di Rantau Panjang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
EMPAT lelaki yang disyaki penagih pil kuda ditahan dalam operasi di Chabang Empat Salam ketika tinjauan di Unit Antidadah Sempadan (UAS) di Rantau Panjang. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Ogos 2022 @ 12:00 PM