Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Sering melihat bapanya menagih atau membeli dadah, seorang orang kurang upaya (OKU) lembam berusia 16 tahun akhirnya terjerumus ke dalam kancah penagihan dadah.

Remaja itu dan bapanya yang berusia 50-an itu adalah antara 149 individu yang ditahan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan dalam Operasi Perdana yang dijalankan di Kota Bharu, baru-baru ini.

Pengarah AADK Kelantan, Rohayu Ahmad, berkata dua beranak terbabit didapati mengambil dadah jenis pil kuda dan anaknya mula terbabit sama sejak tahun lalu, dipercayai selepas sering kali melihat aktiviti tidak sihat bapanya.

"Hasil siasatan lanjut mendapati bapanya sudah lama mengambil barang terlarang ini dan sering membawa bersama anaknya bagi mengaburi mata masyarakat setiap kali keluar mendapatkan stok pil kuda.

"Pihak kami sudah memberi khidmat nasihat bersama keluarga supaya merujuk remaja berkenaan ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) memandangkan usianya masih muda.

"Remaja terbabit menjadi mangsa keadaan dan terdedah dengan suasana tidak sihat angkara bapanya sendiri yang juga menghidap sakit jantung," katanya dalam sidang media di Pejabat AADK Pasir Mas, di sini, hari ini.

Rohayu berkata, kesemua 149 penagih yang ditahan termasuk dua perempuan dalam lingkungan usia 16 sehingga 55 tahun itu, adalah hasil Operasi Perdana di seluruh Kelantan membabitkan 23 pegawai dan 83 anggota.

"Hasil ujian saringan air kencing, kesemua yang ditahan mengambil dadah jenis methamphetamine kecuali seorang daripada mereka yang terbabit dengan heroin dan kesemuanya baru pertama kali ditahan AADK.

"Operasi ini dijalankan bagi mengesan mereka yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah selain untuk memberi rawatan dan pemulihan supaya mereka boleh bebas daripada kancah dadah.

"Bagaimana pun, AADK menyeru masyarakat supaya lebih peka dengan orang sekeliling tidak kira dalam kalangan keluarga sendiri sekali pun, supaya terus melaporkan kepada pihak kami jika melihat ada yang memiliki ciri-ciri terbabit dengan dadah," katanya.

PENGARAH Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad (kanan) memeriksa penagih dadah yang dibawa ke lokap AADK Pasir Mas. FOTO Syaherah Mustafa
PENGARAH Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, Rohayu Ahmad (kanan) memeriksa penagih dadah yang dibawa ke lokap AADK Pasir Mas. FOTO Syaherah Mustafa

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 3:16 PM