Ridzuan Abdul Rahman

Persembahan pada majlis perkahwinan pasangan selebriti Nur Fazura dan Fattah Amin pada Februari 2018 mengembalikan populariti kumpulan Ruffedge.

Kemunculan mereka menjadi tular dan seterusnya diundang menjayakan pula persembahan untuk Anugerah MeleTop Era 2018.

Siapa sangka kumpulan pop R&B yang dianggotai Azan Addin, Cat Farish, Mode, Sein Qudsi dan Zain Hamid kembali menyerlah apabila menjayakan beberapa persembahan selepas itu.

"Publisiti yang diperoleh membuatkan kami ditolak masuk ke arus industri muzik utama semula. Alhamdulillah kami nampak semula rezeki dalam nyanyian.

"Nampaknya tiada cara lain untuk kami kecuali teruskan perjuangan. Pada Ogos 2018 pula kami menjayakan konsert Ruffedge: 20th Anniversary Concert di KL Live.

"Alhamdulillah untuk konsert itu tiket berjaya dijual dalam tempoh enam minit. Ia satu pencapaian yang amat membanggakan," kata Sein.

Mereka juga turut mengadakan konsert di Singapura dan sambutan yang diterima amat mengagumkan.

"Selepas itu pada hujung 2019 kami terbabit dengan konsert bersama KL Jamm Music Festival di Damansara. Terdapat banyak konsert lain diadakan serentak dan kami buat konsert solo. Syukur konsert kami antara yang penuh.

"Sepanjang buat 'comeback' pada 2018, alhamdulillah kami sudah menjayakan tiga konsert. Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, kami sepatutnya mengadakan konsert keempat bersama Dewan Filharmonik Petronas.

"Namun, ia terpaksa ditangguhkan buat sementara kerana PKP. Apapun tiket sudah habis dijual," katanya.

Tahun ini rezeki terus menyebelahi mereka apabila SugarBomb Worldwide Sdn Bhd memilih menjalinkan kerjasama menerusi kempen Kau Memang Da Bomb sejak Februari lalu.

ANGGOTA Ruffedge bersama Kanumbu (empat dari kiri).
ANGGOTA Ruffedge bersama Kanumbu (empat dari kiri).

Lagu popular ini diberikan suntikan nafas baharu dengan gubahan lirik dan muzik video yang dilancarkan pada 6 April 2021.

Azan berkata, kerjasama ini pasti akan menarik perhatian media dan pengikut muzik tempatan terutamanya peminat mereka.

"Kami yakin lagu yang sudah diubah suai ini akan mengembalikan semula memori indah kepada peminat. Juga diharapkan mereka menerima dengan baik versi baharu lagu ini selepas versi pertama pada 2005," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar SugarBomb, Kanumbu Agussalim mengakui pihaknya memilih lagu ini kerana konsep dan liriknya bersesuaian dengan kempen Kau Memang Da Bomb yang dijalankan mereka.

"Aura kumpulan Ruffedge amat hebat dan masih relevan hingga kini. Lagu-lagu nyanyian mereka dulu juga masih diminati ramai dan mereka mempunyai kelompok peminat yang amat besar dari pelbagai golongan bermula dari kanak-kanak hingga dewasa.

"Kerjasama ini juga adalah usaha sama bagi menaikkan semula genre pop R&B yang dilihat semakin dilupakan golongan muda terutamanya, juga sebagai inspirasi bagi melahirkan lebih ramai penyanyi di dalam genre yang sama.

"Kerjasama ini akan berlangsung selama enam bulan. Kami juga mempertimbangkan untuk mengadakan sesi jelajah bersama kumpulan yang terkenal dengan lagu seperti Bila Rindu, Khayalan dan Tipah Tertipu ini," katanya yang mengeluarkan produk minuman, pewangi kereta dan minyak wangi.

BERSYUKUR diterima sebagai artis Rocketfuel Entertainment.
BERSYUKUR diterima sebagai artis Rocketfuel Entertainment.

Album baharu

Ruffedge kini bergelar artis Rocketfuel Entertainment dan akan tampil dengan karya terbaharu selepas Aidilfitri nanti.

"Album kami sebenarnya sudah siap rakaman dan bukan masih dalam perancangan. Kami sudah siapkan lapan lagu dan tinggal nak rakamkan lagi dua lagu.

"Konsep lagu-lagu kami masih sama tapi sudah semestinya ada

'sound' terkini yang sesuai dengan keadaan semasa. Identiti muzik Ruffedge tetap sama dan takkan berubah. Orang suka Ruffedge dan nak dengar muzik kami macam dulu, tapi kita cuba adaptasi apa yang sesuai untuk dimasukkan," kata Mode.

Cat Farish berkata, semua lagu dicipta mereka sendiri seperti album terdahulu.

"Pengalaman yang ada buat kami lebih relaks apabila masuk studio berbanding dulu. Cara kita sudah berubah dari segi pengalaman, pemahaman dari apa yang kita buat.

"Kami tak berdepan tekanan untuk siapkan album ini. Ada saja masa, kami akan masuk studio," katanya.

Sementara itu, Azan menyambut terbuka sekiranya SugarBomb mahu membawa mereka ke sesi jelajah bertemu peminat.

"Kami amat sukakan aktiviti begini terutamanya bertemu pelajar di universiti. Mereka juga adalah penyokong dan pembeli tiket konsert kami," katanya.

Namun, Ruffedge terpaksa menerima hakikat kehilangan Amer Munawer Yusoff daripada kumpulan mereka.

"Kami berjumpa semula pada 2016 dan berbincang santai. Pada 2017 Amer ajak kami berbincang lagi untuk 'comeback' Ruffedge.

"Bagaimanapun dia kini berdepan kekangan keluarga dan kami faham serta menghormatinya. Namun, dia sempat menjayakan konsert bersama kami di KL Live sebelum ini. Apapun sekiranya ada masa, dia bersetuju untuk sertai kami dalam persembahan," kata Azan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 6:01 AM