JANJIKAN persembahan luar biasa untuk peminat di selatan tanah air 8 April depan.
JANJIKAN persembahan luar biasa untuk peminat di selatan tanah air 8 April depan.
Sudirman Mohd Tahir


Kejayaan konsert jelajah Sides Afgan di Malaysia pada September dan Disember tahun lalu diteruskan lagi.

Selepas menggegarkan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dan Miri, Sarawak, kali ini Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza memilih Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor sebagai lokasi ketiga.

Menurut pihak penganjur iaitu IME Malaysia, konsert yang bakal berlangsung pada 8 April itu adalah sebagai tanda sokongan terhadap kemunculan album solo keempat Afgan iaitu Sides.

“Jadual Afgan padat de­ngan kemunculan album ini kerana mendapat undangan persembahan seantero dunia. Namun, dalam kesibukan itu dia masih dapat merealisasikan impikan mengadakan konsert di Johor.

“Ia konsert berskala besar dan dia menjanjikan per­sembahan luar biasa untuk peminat di selatan tanah air,” katanya wakil penganjur.

Pada konsert itu nanti, penyanyi rap SonaOne akan berkolaboasi dengan Afgan menerusi lagu X dan Rollercoaster.

“SonaOne memang menyumbangkan suaranya dalam album Sides. Jadi, dia dan Afgan akan berduet dalam konsert nanti.

“Ini duet pertama Afgan dengan artis Malaysia. Malah SonaOne juga bakal menghangatkan konsert itu dengan lagu popularnya,” kata wakil penganjur itu.

Tiket untuk menyaksikan konsert itu dijual pada harga RM485 (VVIP), RM385 (VIP) dan RM285 (CAT1) malah semua kategori tiket adalah tempat duduk bernombor.

Peminat boleh membuat pembelian tiket menerusi www.ticketcharge.com.my.

Lebih menarik 600 penonton bertuah berpeluang bergambar dengan Afgan serta 50 pas sesi ramah mesra akan diberikan kepada pemegang tiket VVIP yang berharga RM485.

Peminat membeli tiket berharga RM385 (VIP) berpeluang membawa pulang poster yang ditandatangani Afgan namun ia terhad kepada 350 orang sahaja.

Mengimbau kembali konsert jelajah Sides Afgan yang diadakan di PWTC, 3,000 peminat hadir menyaksikan persembahan berbisa penyanyi itu.

Kelincahan Afgan mengalunkan koleksi lagu hitnya membuktikan dia penyanyi versatil. Istimewanya juga, ratu jaz negara, Datuk Shiela Majid turut hadir ke konsert itu.

Sementara di Miri pula, Afgan berduet dengan penyanyi dan pelakon jelita Fazura. Menerusi persembahan berdurasi dua jam itu, Afgan menyampaikan 20 lagu.

Selain konsert jelajah itu, Afgan turut terbabit dalam Konsert Datuk Siti Nurhaliza & Friends yang berlangsung pada April tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 5:00 AM