LAH pamer vokal mantap yang menjadi kekuatannya. - FOTO Nabila Adlina Azahari
LAH pamer vokal mantap yang menjadi kekuatannya. - FOTO Nabila Adlina Azahari
Zaara Talita


Lah Ahmad gagal menahan air mata ketika menyanyikan lagu Di Pintu Syurga yang didedikasikan buat neneknya, Allahyarham Meriam Ahmad meninggal dunia akibat sakit tua pada usia 102 tahun pada 13 September lalu.

Dalam Konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Sabtu lalu itu, Lah atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad, 43, mengakui cuba sebaik mungkin untuk mengawal rasa sebak, namun tetap menitiskan air mata ketika mendendangkan lagu itu.

"Saya cuba sebaik mungkin untuk tidak menangis, tetapi gagal. Arwah Mak Tok begitu dekat dengan saya. Pemergiannya meninggalkan impak mendalam buat saya," katanya yang juga bekas anggota VE.

Dalam pada itu, konsert itu turut mengembalikan nostalgia dengan menampilkan kumpulan Innuendo dan Ruffedge untuk lagu Belaian Jiwa.

Kemunculan Innuendo sebagai kejutan menggamatkan suasana yang mana rata-rata penonton turut berdiri sebagai menyambut persembahan kumpulan popular itu.

Selain itu, mereka turut berkongsi pentas menyanyikan lagu Ayu yang mengangkat nama Lah sebagai penyanyi solo.

Antara lagu yang dibawakan Lah pada malam itu ialah Adinda, Jatuh, Kerna Sayang, Kau Tercipta, Tunggu Kamu, Selamat Datang Cinta, Ulang tahun dan banyak lagi.

Lebih istimewa, Lah yang jarang membawakan lagu 'cover' memberikan peluang kepada penonton untuk jatuh cinta menerusi dua lagu iaitu Weak dan Glimpse Of Us yang memberikan erti peribadi buatnya.

Lah Ahmad tak dapat menahan sedih ketika nyanyikan lagu Di Pintu Syurga buat neneknya. - FOTO Nabila Adlina Azahari
Lah Ahmad tak dapat menahan sedih ketika nyanyikan lagu Di Pintu Syurga buat neneknya. - FOTO Nabila Adlina Azahari

BERGABUNG dengan Innuendo dan Ruffedge. - FOTO Nabila Adlina Azahari
BERGABUNG dengan Innuendo dan Ruffedge. - FOTO Nabila Adlina Azahari

Lah berkata, aksinya di Istana Budaya adalah istimewa kerana memberi peluang kepadanya mendendangkan lagu yang belum pernah dipersembahkan.

"Ada juga lagu lama saya yang peminat tidak pernah dengar termasuk lagu dari album baharu yang didendangkan khas buat peminat.

"Sebelum ini saya merahsiakan identiti artis itu, jadi kehadiran Innuendo dan Ruffedge menambah rencah dan warna untuk persembahan pada malam ini," katanya.

Lah menyifatkan konsert itu menjadi pencetus kepada penganjuran sebuah lagi acara yang menghimpunkan artis R&B popular tanah air.

Selain membuatkan penonton dibuai emosi menerusi lagu-lagu cinta, Lah turut merancakkan persembahan apabila berkongsi pentas dengan Ruffedge.

Peminat dan penonton yang hadir turut menari bersama apabila lagu Bila Rindu dan Khayalan didendangkan.

Konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta dianjurkan Rubbertapper Production House dan diiringi Orkestra Simfoni Universiti Malaya (UM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 6:44 AM