SUAMI isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas empat pertuduhan menjalankan perniagaan pengiriman wang tanpa lesen. FOTO Mohd Azren Jamaludin
SUAMI isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas empat pertuduhan menjalankan perniagaan pengiriman wang tanpa lesen. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


SUAMI isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas empat pertuduhan menjalankan perniagaan pengiriman wang tanpa lesen, 11 April hingga 24 April lalu.

Tertuduh, Mohammad Teo Kai Seng Abdullah, 44, yang mengaku bersalah bagi semua pertuduhan itu kemudian dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM200,000.

Hakim Jailani Rahman bagaimanapun, melepas dan membebaskan isteri Mohammad Teo yang dikenali sebagai Sartika, 37, selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadap wanita Indonesia berstatus penduduk tetap berkenaan yang sebelum itu membuat pengakuan tidak bersalah.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, pasangan yang juga sebagai rakan kongsi kepada perniagaan Famirah Sukses Wisata itu didakwa menjalankan perniagaan perkhidmatan wang iaitu perniagaan pengiriman wang tanpa lesen yang dikeluarkan bawah Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang (MSB) 2011(Akta 731).

Bagi semua perbuatan yang dilakukan di empat premis di Pasir Gudang, Skudai, Johor Bahru dan Senai itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta MSB 2011.

Mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 4(4) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuannya, Mohammad Teo yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda yang ringan memandangkan dia menanggung ibu dan mentuanya selain tiga anak yang masih sekolah.

"Seorang anak berusia 13 tahun, manakala dua lagi adalah pasangan kembar berusia lima tahun. Isteri saya kini sedang hamil tujuh bulan, juga anak kembar," katanya yang sudah menjalankan perniagaan itu selama tiga tahun.

Pihak pendakwaan yang dijalankan kumpulan pegawai pendakwa Bank Negara Malaysia (BNM) memohon mahkamah mengambil kira kes itu yang serius kerana pengaliran wang ke luar negara boleh mempengaruhi nilai mata wang Malaysia.

Justeru, hukuman yang dikenakan wajar dijadikan pengajaran masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM50,000 bagi setiap pertuduhan, namun memerintahkan ia berjalan serentak.

Pada 26 April lalu, BNM dalam satu kenyataan di laman sesawang rasminya memaklumkan membuat serbuan di empat premis dimiliki Famirah Sukses Wisata iaitu syarikat yang disyaki menjalankan aktiviti perniagaan runcit pengiriman wang secara haram tanpa lesen.

Dalam serbuan itu, BNM menyita dokumen yang berkaitan dan wang tunai berjumlah RM139,922.89 untuk tujuan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 3:19 PM