Antara 15 individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas tuduhan menjalankan perniagaan pengiriman wang tanpa lesen membabitkan jumlah hampir RM1 bilion, sejak 2012. FOTO Pix Mohd Azren Jamaludin
Antara 15 individu termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas tuduhan menjalankan perniagaan pengiriman wang tanpa lesen membabitkan jumlah hampir RM1 bilion, sejak 2012. FOTO Pix Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seramai 15 individu termasuk seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menjalankan perniagaan pengiriman wang tanpa lesen membabitkan jumlah hampir RM1 bilion, sejak 2012.

Mereka yang terdiri daripada pemilik tunggal syarikat, pengarah dan rakan kongsi membuat pengakuan itu di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim, membabitkan 43 pertuduhan.

Muhammad Razik Mohamad Riyaludin, 36, menghadapi 12 pertuduhan; Mohamed Thamimul Ansari, 41 (10 pertuduhan); Ter Leong Jenn, 40 (empat) dan Ramli Mohd Hassan, 59 (tiga).

Manakala, Wong Shu Haw; 39; Noor Suhaily Harun, 27; serta Muhammad Azuwan Ismail, 22; menghadapi dua pertuduhan, dan masing-masing satu pertuduhan terhadap Jihad Dudden Shaikh Alu Khan, 26; Mohamed Ali Jinah, 54; Muhammad Faizul Mohd Haniffa, 23; Sutanto Sanarja, 49; Tan Kim Kee, 58; Tajuddeen N Abdul Rahim, 69; Ahmad Shah Mhd Shafie, 36; serta Naina Mohammad Abd Kadar, 41.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu dengan cara memberi perkhidmatan memindahkan dana bagi pihak seseorang pengirim asal kepada penerima di dalam atau luar negara antara 2012 hingga 2016.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731) yang membawa hukuman denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Bank Negara Malaysia (BNM), Steve Chin Yun Cheong dan Alvin Ong Heng Kiat, manakala antara peguam yang mewakili tertuduh ialah Mahendran Mahason, Rosli Kamaruddin dan Shaikh Saleem SM Daud.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin antara RM80,000 hingga RM1 juta dengan syarat tambahan semua tertuduh mengemukakan dua penjamin warga tempatan dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula untuk serahan dokumen pada 3 Mei, 4 Mei dan 17 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 6:30 PM