TERTUDUH (tengah) mengaku tidak bersalah menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen dan menggunakan perkataan 'Money Changer' pada papan perniagaan sebelum mendapat kelulusan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
TERTUDUH (tengah) mengaku tidak bersalah menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen dan menggunakan perkataan 'Money Changer' pada papan perniagaan sebelum mendapat kelulusan. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Pemilik kedai pengurup wang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sni, hari ini bagi dua pertuduhan menjalankan perniagaan perkhidmatan wang tanpa lesen dan menggunakan perkataan 'Money Changer' pada papan perniagaan sebelum mendapat kelulusan bertulis Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2013.

Tertuduh, Noor Liza Raseek Khan, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menjalankan perniagaan pengurupan wang tanpa lesen di hotel di Jalan Dato Abdullah Tahir di sini, 1.10 petang, 5 September 2013.

Bagi pertuduhan itu, wanita terbabit didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang (APPW) 2011 (Akta 731) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(4) akta sama.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menggunakan perkataan 'Money Changer' pada papan perniagaan sebelum mendapat kelulusan bertulis Bank Negara Malaysia (BNM), pada tarikh dan tempat sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) APPW 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 23(3) akta sama.

Kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh boleh dihukum denda RM5 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa BNM, Alvin Ong Heng Kiat dan Siti Nabila Huda Zaidisham, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Isa Mohamad Basir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 12:24 PM